Rawatan kemoterapi sahaja berbanding terapi endokrin bagi kanser payudara metastatik

Kanser payudara merupakan kanser yang paling utama menyerang kaum wanita. Sekiranya kanser telah merebak melebihi kawasan payudara (metastatik), rawatan yang diberikan melibatkan kemoterapi (ubat anti-kanser) dan terapi endokrin (juga dikenali sebagai rawatan hormon). Terapi endokrin diberikan kepada wanita yang mempunyai kanser yang bergerak balas terhadap hormon, iaitu sel tumor yang mempunyai reseptor hormon (progesteron atau estrogen) yang aktif. Matlamat ulasan ini adalah untuk memastikan sama ada rawatan permulaan dengan kemoterapi atau terapi endokrin memberikan lebih manfaat dari segi dayatahan hidup, tindak balas terhadap rawatan, ketoksikan daripada rawatan dan kualiti hidup. Sepuluh kajian yang berkelayakan dikenalpasti, yang mana lapan daripadanya memberikan maklumat berkenaan tindak balas terhadap rawatan (dalam 817 pesakit) dan enam terhadap kelangsungan hidup secara keseluruhannya (dalam 692 pesakit). Kajian-kajian yang ada adalah lama (diterbitkan di antara tahun 1963 dan 1995) dan saiznya kecil (median 70 orang wanita, di antara 50 hingga 226 wanita bagi setiap kajian) dan kualiti kajian adalah sederhana. Jenis kemoterapi yang digunakan juga agak ketinggalan jika dibandingkan dengan piawai hari ini, manakala terapi edokrin yang digunakan dulu tersangatlah berbeza dengan yang ada pada hari ini.

Ulasan ini mendapati bahawa rawatan awal dengan kemoterapi dan bukan dengan terapi endokrin mungkin berkait rapat dengan kadar tindak balas yang tinggi, namun rawatan awal dengan kedua-duanya mempunyai kesan yang sama terhadap kelangsungan hidup secara keseluruhannya. Tiada satu kumpulan pesakit yang dikenalpasti mendapat manfaat ataupun berdepan dengan sebarang masalah daripada salah satu rawatan berbanding dengan yang satu lagi, walaupun terdapat sangat sedikit maklumat untuk menjawab persoalan ini. Enam daripada tujuh kajian yang telah diterbitkan menyatakan bahawa peningkatan kesan toksik berkaitan dengan kemoterapi termasuklah loya, muntah dan alopesia. Tiga daripada tujuh kajian menyebut tentang aspek kualiti hidup tetapi hasil kajian mereka berbeza-beza. Hanya satu kajian yang mengukur kuaiiti hidup (QOL), merumuskan bahawa QOL adalah lebih baik dengan rawatan kemoterapi. Berdasarkan kajian-kajian ini, tiada kesimpulan yang dapat dibuat samada QOL boleh dicapai dengan mana-mana rawatan.

Maklumat yang tepat berkenaan dengan status reseptor hormon boleh diperolehi secara rutin kini bagi ramai wanita yang mempunyai kanser payudara metastatik, dan rawatan hormon kini lebih berkesan berbanding 10 tahun yang lalu. Dalam kalangan wanita yang mempunyai kanser payudara metastatik, yang mana terdapatnya reseptor hormon, kaedah permulaan rawatan dengan terapi endokrin dulu diikuti dengan rawatan kemoterapi adalah lebih baik, berdasarkan kajian dan hasil kajian dalam ulasan ini, melainkan terdapat penyakit yang berkembang dengan pantas.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Faliq Adeeba Wan Ibrahim (Universiti Sains Malaysia). Disunting olehTuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi faliq.adeeba@gmail.com

Tools
Information
Share/Save