Ubat-ubatan penghancur klot untuk jangkitan lapisan paru-paru

Latar belakang

Empyema dan efusi ‘parapneumonic’ yang rumit adalah keadaan yang melibatkan pengumpulan cecair yang dijangkiti antara paru-paru dan dinding dada (ruang pleura). Mereka dirawat dengan mengalirkan cecair dengan tiub yang dimasukkan melalui dada ke dalam cecair ('tiub dada'), bersama antibiotik. Jika ini tidak berfungsi, pembedahan biasanya diperlukan untuk mengalirkan cecair. Ubat fibrinolitik ('ubat penghancur klot’) boleh membuat cecair pleura dijangkiti lebih cair, kurang melekit dan mudah dialirkan melalui tiub dada, yang bermaksud pembedahan mungkin tidak diperlukan.

Soalan ulasan

Kami ingin tahu jika fibrinolitik mengurangkan keperluan untuk orang yang mengalami jangkitan di ruang pleura untuk menjalani pembedahan bagi merawat jangkitan. Kami juga ingin melihat jika ubat-ubatan ini mengurangkan peluang orang mati kerana jangkitan; sama ada rawatan fibrinolitik berkesan secara keseluruhan; dan sama ada ubat-ubatan ini menyebabkan kesan sampingan serius. Kami juga ingin tahu jika suatu ubat fibrinolitik lebih berkesan daripada yang lain.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari kajian-kajian sehingga Ogos 2019. Kami memasukkan 10 kajian dengan sejumlah 993 pesakit yang membandingkan fibrinolitik dengan plasebo dan mencari perbezaan-perbezaan. Kami juga memasukkan dua kajian yang membandingkan fibrinolitik yang berbeza dengan sejumlah 149 pesakit dan membandingkannya secara berasingan.

Penemuan-penemuan utama

Kami mendapati beberapa bukti kepastian rendah fibrinolitik mengurangkan keperluan untuk pembedahan. Tiada bukti jelas fibrinolitik mengubah risiko kematian. Terdapat beberapa bukti kepastian rendah yang menunjukkan terdapat risiko lebih banyak kesan sampingan (kebanyakan perdarahan) fibrinolitik tetapi ini tidak pasti. Kami mendapati tiada bukti jelas bahawa sebarang fibrinolitik tunggal lebih baik daripada yang lain.

Kepastian bukti

Kami menganggap kepastian bukti yang dikenalpasti membandingkan fibrinolitik dengan plasebo akan berubah dari sederhana (risiko kematian) kepada sangat rendah (kegagalan rawatan keseluruhan). Ini adalah kerana sesetengah kajian mempunyai satu atau lebih domain yang berisiko bias tinggi dan kebimbangan tidak semua kajian rawatan ini diterbitkan. Kami menganggap bukti yang membandingkan fibrinolitik individu adalah berkepastian rendah kerana kekurangan pesakit dalam kajian serta satu kajian lagi berisiko bias tinggi.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com

Tools
Information
Share/Save