Dalam kalangan orang dengan penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD), apakah manfaat dan risiko perencat fosfodiesterase 4?

Latar belakang ulasan

Penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD) adalah suatu keadaan progresif paru-paru yang disebabkan oleh kerosakan daripada bahan kimia yang berbahaya yang dihirup dan dilihat terutama dalam kalangan perokok tembakau. Bahan kimia ini membentuk tindakbalas keradangan melata, yang merosakkan struktur di dalam paru-paru tetapi juga meningkatkan pengeluaran lendir dalam saluran pernafasan. Proses-proses ini membawa kepada gejala sesak nafas berjeda dan mengurangkan kapasiti untuk melaksanakan tugasan harian. Tambahan pula, orang dengan COPD berisiko tinggi untuk membentuk eksaserbasi (memberang), yang menjadi lebih kerap dan teruk dari masa ke masa. Orang-orang berbeza dari segi cara mereka dipengaruhi oleh COPD. Sebahagiannya adalah berkait dengan keterukan penyakit tetapi juga terhadap perbezaan respon kepada ubat-ubatan, kecergasan individu dan keadaan hidup bersama. Satu-satunya cara untuk mengelakkan kerosakan berterusan paru-paru dalam kebanyakan orang ialah berhenti merokok.

Ubat-ubatan yang dipreskripsi untuk menguruskan COPD secara amnya bertujuan untuk memperbaiki gejala, mengurangkan eksaserbasi atau kedua-duanya. Pada peringkat awal, ubat bronkodilator sangat membantu kerana ia mengendurkan otot-otot kecil di saluran udara yang membolehkan lebih banyak udara bergerak bebas masuk dan keluar dari paru-paru. Sesetengah ejen bertindak lama boleh mengurangkan eksaserbasi. Inhaler yang mengandungi steroid boleh ditambah secara khusus untuk mensasarkan keradangan di dalam paru-paru dan dengan itu mengurangkan bilangan eksaserbasi.

Perencat fosfodiesterase 4 (PDE4) adalah kelas ubat baharu yang dipasarkan untuk menambahbaik COPD. Ia mempunyai kedua-dua kesan bronkodilator dan anti-radang. Selain itu, kedua-dua ubat yang sedia ada, roflumilast dan cilomilast, diambil sebagai tablet. Ulasan kami menyusun dan menganalisis kajian sedia ada untuk menentukan manfaat dan risiko perencat PDE4 dalam COPD.

Apa yang dilihat oleh penyelidik?

Kami mendapati 34 kajian lengkap melibatkan 24,084 orang dewasa, dengan hasil yang dilaporkan sehingga Oktober 2016. Kajian-kajian terdiri daripada kajian dalam kalangan orang dengan penyakit COPD sederhana hingga sangat teruk yang menghentikan ubat-ubatan COPD biasa yang lain. Walau bagaimanapun, terdapat tujuh kajian yang membenarkan sambungan ubat-ubatan COPD biasa. Julat tempoh kajian adalah antara 6 hingga 52 minggu dan purata umur peserta adalah 64 tahun. Semua kajian adalah ditaja oleh pengilang perencat PDE4.

Apakah yang kami dapati?

Berbanding plasebo, ubat-ubatan ini memberi peningkatan kecil dalam ukuran fungsi paru-paru dan mengurangkan kebolehjadian eksaserbasi COPD. Berdasarkan keputusan ini, kami menjangkakan daripada 100 orang yang mengambil perencat PDE4 setiap hari selama setahun, 28 akan mengalami sekurang-kurangnya satu eksaserbasi yang mana adalah lima kali kurang daripada orang yang tidak menerima ubat ini.

Walau bagaimanapun, orang-orang melaporkan ubat-ubatan ini hanya memberi sedikit kesan terhadap sesak nafas dan kualiti hidup. Tambahan pula, sekitar 5% hingga 10% orang dalam kajian yang menerima roflumilast atau cilomilast melaporkan kesan sampingan seperti cirit-birit, mual dan muntah. Kami menjangkakan daripada 100 orang yang mengambil perencat PDE4 setiap hari selama setahun, 11 akan mengalami cirit-birit, yang mana adalah tujuh kali lebih daripada yang tidak menerima ubat-ubatan ini. Terdapat dua hingga tiga kali ganda peningkatan risiko gangguan tidur atau mood untuk dos 500 μg roflumilast, walaupun keseluruhan jumlah insiden yang dilaporkan masih kecil. Tiada kesan ke atas kadar kemasukan ke hospital dan kematian. Kesannya adalah sama tidak kira keterukan COPD, atau sama ada ubat-ubatan lain untuk COPD diambil.

Kualiti bukti

Kajian-kajian secara umum direka bentuk dengan baik, kerana orang-orang tidak tahu sama ada mereka menerima rawatan baru ini atau ubat plasebo. Secara keseluruhannya, kami menilai kualiti bukti sebagai sederhana hingga tinggi.

Adalah membimbangkan keputusan yang dilihat dalam kajian terbitan majalah oleh syarikat-syarikat farmaseutikal menunjukkan manfaat yang lebih besar ubat-ubatan ini daripada keputusan-keputusan yang tidak diterbitkan. Oleh itu, data kajian yang tidak diterbitkan sepatutnya dapat diakses dan terkini. Data kesan buruk psikiatri kekal tidak diterbitkan. Kajian jangka panjang diperlukan untuk mendapat anggaran yang lebih tepat mengenai manfaat dan keselamatan ubat-ubatan ini dari masa ke masa, termasuk sama ada ia melambatkan perkembangan penyakit COPD.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information
Share/Save