Perencat phosphodiesterase-4 untuk orang dengan penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD)

Latar belakang

COPD adalah suatu keadaan progresif paru-paru yang disebabkan oleh kerosakan daripada bahan kimia berbahaya yang disedut dan dilihat terutama dalam kalangan perokok tembakau. Bahan-bahan kimia ini menyebabkan keradangan dan kerosakan paru-paru dan meningkatkan pengeluaran lendir di paru-paru. Ini membawa kepada tempoh sesak nafas dan batuk yang disebut eksaserbasi (atau suar). Eksaserbasi menyukarkan orang untuk melakukan tugas harian mereka. Eksaserbasi menjadi lebih kerap dan teruk dari masa ke masa. Orang-orang berbeza dari segi cara mereka dipengaruhi oleh COPD. Ini adalah berkait dengan keterukan penyakit dan perbezaan respon kepada ubat-ubatan, serta kecergasan dan kewujudan keadaan-keadaan lain. Bagi kebanyakkan orang, satu-satunya cara untuk mengelakkan kerosakan paru-paru lanjutan ialah berhenti merokok.

Ubat-ubatan yang dipreskrib untuk menguruskan COPD secara amnya bertujuan untuk memperbaiki gejala, mengurangkan eksaserbasi atau kedua-duanya. Di peringkat awal, pengambilan bronkodilator membuat pernafasan lebih mudah dengan merelaks otot di paru-paru dan meluaskan saluran udara, membolehkan lebih banyak udara bergerak bebas ke dalam dan ke luar paru-paru.

Sesetengah ejen bertindak lama boleh mengurangkan eksaserbasi. Sebagai contoh, inhaler steroid mengurangkan keradangan paru-paru dan dengan itu mengurangkan bilangan eksaserbasi.

Perencat phosphodiesterase-4 (PDE₄) adalah kelas ubat baharu yang dipasarkan untuk memperbaik COPD. Ia mempunyai kedua-dua kesan bronkodilator dan anti-radang. Kedua-dua ubat sedia ada, roflumilast dan cilomilast - diambil sebagai tablet. Kami menyusun dan menganalisis keputusan kajian sedia ada untuk menentukan manfaat dan risiko PDE₄ perencat COPD.

Keputusan utama

Analisis data memasukkan 42 kajian dalam kalangan 24,587 orang dewasa dengan penyakit sederhana hingga sangat teruk yang menghentikan ubat COPD biasa yang lain. Beberapa kajian membolehkan orang terus menggunakan ubat COPD mereka yang biasa. Kebanyakkan kajian dibiaya oleh pengilang perencat PDE₄.

Perencat PDE₄ memberi manfaat kecil dalam memperbaiki ukuran fungsi paru-paru (isipadu ekspirasi paksa dalam satu saat (FEV₁), kapasiti vital paksa (FVC), dan aliran ekspirasi puncak (PEF)). Perencat PDE₄ juga mengurangkan kemungkinan eksaserbasi yang berkait dengan COPD. Kami mendapati 28 daripada 100 orang yang mengambil perencat PDE₄ setiap hari selama setahun akan mengalami sekurang-kurangnya satu eksaserbasi, iaitu lima kali kurang daripada orang yang tidak menerima ubat-ubat ini.

Perencat PDE₄ memberi manfaat kecil dalam mengurangkan sesak nafas dan memperbaiki kualiti hidup. Sekitar 5% hingga 10% orang yang menerima roflumilast atau cilomilast melaporkan kesan sampingan seperti cirit-birit, mual dan muntah. Kami menjangka 11 daripada 100 orang yang mengambil perencat PDE₄ setiap hari selama 39 minggu akan mengalami episod cirit-birit, iaitu tujuh kali lebih banyak daripada mereka yang tidak menerima perencat PDE₄. Kami mendapati 7 daripada 100 orang berkemungkinan mengalami peristiwa psikiatri dengan roflumilast 500 µg. Terdapat dua hingga tiga kali ganda peningkatan risiko gangguan tidur atau mood dengan dos 500 μg roflumilast, walaupun bilangan keseluruhan insiden yang dilaporkan adalah rendah. Tiada kesan pada kadar kematian. Kesan-kesan adalah sama tidak kira keterukan COPD, atau sama ada ubat-ubatan lain untuk COPD diambil.

Kualiti bukti

Kami sederhana yakin tentang data untuk fungsi paru-paru dan kualiti hidup. Kami sangat yakin akan bukti kesan sampingan seperti cirit-birit dan data untuk eksaserbasi.

Keputusan-keputusan kajian yang diterbitkan dalam majalah oleh syarikat-syarikat farmaseutikal menunjukkan manfaat lebih besar ubat-ubatan ini daripada keputusan-keputusan yang tidak diterbitkan. Data kesan buruk psikiatri kekal tidak diterbitkan.

Kesimpulan

Kami menyokong penggunaan perencat PDE₄ untuk COPD, tetapi dengan berhati-hati. Perencat PDE₄ memberi manfaat kecil dalam memperbaiki fungsi paru-paru dan mengurangkan kemungkinan eksaserbasi COPD, tetapi mempunyai sedikit terhadap kualiti hidup dan gejala COPD. Kesan sampingan termasuk cirit-birit dan penurunan berat badan adalah lazim.

Perencat PDE₄ boleh digunakan sebagai terapi tambahan untuk subkumpulan orang dengan gejala atau eksaserbasi yang berterusan walaupun dengan pengurusan COPD yang optimum (contohnya, orang yang keadaan tidak terkawal dalam gabungan agonis beta₂ jangka panjang dengan dos tetap (LABA) dan kortikosteroid yang disedut (ICS)). Ini adalah mengikut garis panduan GOLD 2020. Kajian jangka panjang perlu untuk mendapatkan anggaran lebih tepat tentang manfaat dan keselamatan ubat-ubatan ini dari masa ke masa, termasuk menentukan sama ada ia melambatkan progresi penyakit COPD.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Noorliza Mastura I (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information