Feverfew untuk mencegah migrain

Migrain adalah gangguan sakit kepala yang lazim dan mengganggu. Feverfew (Tanacetum parthenium L. ) adalah herba yang digunakan untuk pencegahan serangan migrain. Untuk mengemaskini ulasan Cochrane yang sebelumnya, kami telah mengkaji bukti sedia ada sehingga Januari 2015 bagi kajian yang menyokong ataupun yang menolak feverfew dalam pencegahan migrain dan kami telah menjumpai enam kajian yang melibatkan 561 peserta. Secara amnya, kajian-kajian ini bersifat heterogenus dan dapatan yang bercampur-baur. Versi ulasan yang sebelumnya menunjukkan tiada kebaikan yang jelas tentang tumbuhan feverfew berbanding plasebo. Kami telah menambah satu kajian baru, yang lebih besar dan telah dilakukan dengan standard yang tinggi, untuk ulasan ini. Ia menunjukkan bahawa feverfew mengurangi frekuensi migrain lebih sedikit daripada setengah migrain (0.6) dalam sebulan berbanding plasebo. Tidak ada perbezaan pada tahap atau tempoh kesakitan. Dapatan ini diperolehi daripada satu kajian bersaiz sederhana, oleh itu ia mesti dinilai dengan teliti sehinggalah ia dapat disahkan oleh kajian baik yang lain. Tiada kesan sampingan yang teruk berkaitan feverfew dalam kajian-kajian yang dinilai.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Ammar Al Hakim (RCSI & UCD Malaysian Campus). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi cochrane@dcsiucd.edu.mu

Tools
Information
Share/Save