Ubat kumur mulut berfluorida untuk mencegah karies gigi dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Soalan ulasan

Berkesan dan selamatkah penggunaan ubat kumur mulut berfluorida untuk mencegah kerosakan gigi (karies gigi) dalam kalangan kanak-kanak dan remaja berbanding plasebo (ubat kumur mulut tanpa bahan aktif fluorida) atau tiada rawatan sama sekali?

Latarbelakang

Kerosakan gigi adalah masalah kesihatan di seluruh dunia yang mempengaruhi ramai orang dewasa dan kanak-kanak. Tahap kerosakan gigi berbeda di antara dan di dalam negara namun kanak-kanak dalam kumpulan sosioekonomi rendah (diukur dengan pendapatan, pendidikan dan pekerjaan) lebih cenderung mengalami lebih kerosakan gigi. Kerosakan gigi yang tidak dirawat boleh menyebabkan kemusnahan berterusan bahagian atas gigi (korona) dan sering diiringi dengan rasa sakit yang kuat. Pembaikan dan penggantian gigi yang rosak adalah mahal dari sudut masa dan kewangan dan merupakan penyusutan sumber yang utama dalam sistem penjagaan kesihatan.

Mencegah kerosakan gigi dalam kalangan kanak-kanak dan remaja merupakan prioriti perkhidmatan pergigian dan dianggap lebih kos efektif daripada rawatan. Penggunaan fluorida, sejenis mineral yang dapat mencegah kerosakan gigi adalah meluas. Fluorida, yang boleh wujud secara semulajadi ditambah ke dalam bekalan air sesetengah kawasan dan diguna dalam kebanyakan ubat gigi dan produk lain yang terdapat pada pelbagai tahap di seluruh dunia. Sebagai bahan pencegahan tambahan, fluorida boleh diaplikasi terus kepada gigi dalam bentuk ubat kumur mulut, lozeng, varnis dan gel.

Ubat kumur mulut berfluorida sering diguna di bawah pengawasan dalam program berasaskan sekolah untuk mencegah kerosakan gigi. Penggunaan ubat kumur mulut berfluoridan yang di awasi (bergantung kepda umur kanak-kanak) atau tanpa pengawasan perlu diguna secara regular untuk memberi kesan. Prosedur yang disyorkan adalah berkumur satu hi9ngga dua minit setiap hari dengan larutan yang mengandungi fluorida kurang pekat atau sekali seminggu atau sekali dalam dua minggu dengan larutan yang lebih pekat. Oleh kerana risiko tertelan lebih fluorida, ubat kumur mulut berfluorida tidak disyorkan untuk kanak-kanak di bawah umur enam tahun.

Ulasan ini mengemaskini ulasan Cochrane ubat kumur mulut berfluorida untuk mencegah kerosakan gigi dalam kalangan kanak-kanak dan remaja yang pertama kali diterbitkan dalam tahun 2003. Kami menilai kajian sedia ada untuk Kesihatan Oral Cochrane dan bukti adalah terkini sehingga 22 April 2016.

Ciri kajian

Kami memasukkan 37 kajian yang melibatkan lebih 15,000 kanak-kanak (berumur 6 hingga 14 tahun) yang dirawat dengan ubat kumur mulut berfluorida atau plasebo (ubat kumur mulut tanpa bahan aktif) atau tidak menerima rawatan sama sekali. Semua kajian menilai penggunaan ubat kumur mulut berfluorida di bawah pengawasan di persekitaran sekolah, dengan dua kajian penggunaan dirumah. Kebanyakan kanak-kanak menerima larutan natrium fluorida (NaF) 230 bahagian per juta fluorida (bpj F) setiap hari atau larutan lebih pekat 900 bpj F setiap minggu atau dua minggu sekali. Kajian-kajian berlangsung untuk dua hingga tiga tahun.Laporan diterbitkan di antara 1965 dan 2005, dan kajian-kajian tersebur berlangsung di bebarapa negara.

Keputusan utama

Kemaskini ulasan ini mengesahkan bahawa penggunaan ubat kumur mulut berfluorida di bawah pengawasan secara regular boleh mengurangkan kerosakan gigi dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Gabungan keputusan yang melibatkan 35 kajian menunjukkan purata pengurangan 27% kerosakan, kehilangan dan tampalan permukaan gigi berbanding plasebo atau tiada penggunaan ubat kumur mulut. Manfaat ini juga boleh didapati jika kanak-kanak menggunakan ubat gigi berfluorida atau menetap di kawasan bekalan air berfluorida. Gabungan keputusan yang melibatkan 13 kajian mendapati purata 23% pengurangan kerosakan gigi, kehilangan gigi dan tampalan gigi (selain permukaan gigi) bagi kegigian kekal dengan penggunaan ubat kumur mulut berfluorida berbanding plasebo atau tidak menggunakan ubat kumur mulut. Tiada kajian yang meninjau kesan kumuran fluorida ke atas gigi susu. Kami mendapati sedikit maklumat tentang kesan sampingan yang tidak diingini atau bagaimana kanak-kanak dapat mengawal penggunaan ubat kumur mulut.

Rumusan

Penggunaan ubat kumur mulut berfluorida secara regular di bawah pengawasan menghasilkan pengurangan yang ketara kerosakan gigi kekal dalam kalangan kanak-kanak. Kami mendapati sedikit maklumat berkenaan potensi kesan buruk dan penerimaan.

Kualiti bukti

Bukti sedia ada untuk gigi kekal adalah berkualiti sederhana. Ini bermaksud kami meyakini secara sederhana tentang saiz kesan. Sangat kurang bukti yang sedia ada untuk menilai kesan butuk.

Kesimpulan penulis: 

Kajian sistematik ini mencadangkan penggunaan ubat kumur mulut yang dikawalselia pada dua kekuatan dan frekuensi berkumur adalah berhubungkait di mana terdapat pengurangan dalam pertambahan karies kanak-kanak. Dalam populasi dengan pertambahan karies 0.25 D(M)FS per tahun, 16 kanak-kanak perlu menggunakan ubat kumur mulut berfluorida untuk mencegah satu D(M)FS; dalam populasi yang pertambahan karies 2.14 D(M)FS per tahun, 2 kanak-kanak perlu berkumur untuk mencegah satu D(M)FS. Laporan lengkap tentang kesan sampingan dan data penerimaan penggunaan ubat kumur mulut adalah perlu.

Baca abstrak penuh ...
Latar belakang: 

Ubat kumur mulut berfluorida telah diguna dengan meluas sebagai intervensi pencegahan karies dalam program berasaskan sekolah maupun secara individu di rumah

Objektif: 

Untuk menentukan keberkesanan dan keselamatan ubat kumur mulut berflourida di dalam pencegahan karies gigi dalam kanak- kanak dan menilai faktor- faktor uang berpotensi mengubahsuai kesannya.

Strategi pencarian: 

Kami membuat carian Daftar Kajian Kumpulan Kesihatan Oral Cochrane (Mei 2000), Daftar Pusat Kajian Klinikal Terkawal Cochrane (CENTRAL) (Perpustakaan Cochrane 2000, Isu 2), MEDLINE (1966 hingga Januari 2000) dan beberapa pangkalan data lainnya. Kami membuat carian tangan jurnal,senarai rujukan artikel dan menghubungi penulis dan pengilang tertentu.

Kriteria pemilihan: 

Kajian klinikal atau kuasi-klinikal rawak dengan penilaian hasil ‘blind’ yang membandingkan ubat kumur berfluorida dengan placebo atau tiada rawatan, paling kurang 1 tahun, dalam kanak-kanak berumur sehingga 16 tahun. Hasil utama ialah ukuran pertambahan karies melalui perubahan pada kerosakan, kehilangan dan restorasi permukaan gigi (D(M)FS).

Pengumpulan data dan analisis: 

Keputusan pemilihan kajian, penilaian kualiti dan penggalian data diduplikasi dalam sepertiga sampel rawak dan konsensus dicapai melalui perbincangan atau penglibatan pihak ketiga. Penulis kajian dihubungi untuk sebarang data yang diperlukan. Ukuran utama keberkesanan adalah ‘pecahan dicegah’ iaitu perbezaan di antara pertambahan karies di antara kumpulan kontrol dan kumpulan yang menerima rawatan, diekspresi sebagai peratus pertambahan di dalam kumpulan kontrol. Meta-analisis kesan rawak dijalankan pada data terkumpul. Sumber yang berpotensi untuk kepelbagaian dinilai melalui kesan rawak analisis metaregresi.

Keputusan utama: 

Tiga-puluh enam kajian telah disertakan. Untuk 34 kajian yang menyumbang data kepada meta-analisis (melibatkan 14,600 kanak-kanak) ‘pecahan yang dicegah’ (PF) terkumpul D(M)FS adalah 26% (95% interval keyakinan (IK), 23% hingga 30%;p<0.0001). Kepelbagaian adalah tidak besar walaupun sah secara statistik (P=0.008). Tiada kaitan signifikan anggaran nilai D(M)FS ‘pecahan yang dicegah’ dengan asas keterukan karies, latarbelakang pendedahan fluorida, frekuensi berkumur dan kepekatan fluorida dalam analisis metaregresi. Plot corong 34 kajian menunjukkan tiada hubungan di antara ‘pecahan yang dicegah’ dengan kejituan kajian. Terdapat kurang maklumat tentang kemungkinan kesan sampingan atau penerimaan rawatan yang disertakan dalam kajian-kajian tersebut.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information
Share/Save