Monoterapi phenobarbitone berbanding phenytoin (rawatan ubat tunggal) untuk epilepsi

Ini adalah versi kemas kini bagi Ulasan Cochrane terdahulu yang diterbitkan pada 2013, Isu 1Pangkalan Data Ulasan Sistematik Cochrane.

Latar belakang

Epilepsi adalah gangguan neurologi yang lazim di mana discaj elektrik abnormal daripada otak menyebabkan sawan berulang. Kami menyelidik dua jenis sawan epilepsi di dalam ulasan ini: sawan permulaan umum, di mana discaj elektrik bermula di satu bahagian otak dan bergerakke seluruh otak; dan sawan permulaan fokal, di mana sawan bermula dibahagian tertentu otak dan mempengaruhi bahagian ini (seluruh hemisfera otak atau sebahagian lobus otak). Sawan fokal boleh menjadi umum (umum yang sekunder), dan boleh bergerak dari satu bahagian otak kepada seluruh otak. Bagi 70% orang dengan epilepsi, ubat antiepileptik tunggal boleh mengawal sawan permulaan umum atau sawan permulaan fokal.

Ulasan ini terpakai untuk orang dengan sawan fokal (dengan atau tanpa sawan umum) dan orang dengan sawan tonik-klonik, sejenis sawan umum yang spesifik. Ulasan ini tidak terpakai untuk orang dengan jenis-jenis sawan umum lain seperti sawan ‘absence’ atau sawan mioklonik, kerana rawatan yang disyorkan untuk sawan jenis-jenis tersebut adalah berbeza.

Di seluruh dunia, terutama di negara berpendapatan rendah dan sederhana di Afrika, Asia, dan Amerika Selatan, phenobarbitone dan phenytoin adalah ubat-ubatan antiepileptik yang lazim diguna kerana kosnya yang rendah.

Objektif

Tujuan ulasan ini adalah untuk membandingkan keberkesanan ubat-ubatan ini mengawal sawan, untuk mengetahui jika ia dikaitkan dengan kesan sampingan yang boleh menyebabkan individu menghentikan ubat, dan memaklumkan pilihan di antara ubat-ubatan ini.

Kaedah

Carian terakhir untuk kajian adalah pada Ogos 2018. Kami menilai bukti dari tujuh kajian klinikal di mana orang menerima sama ada phenobarbitone atau phenytoin dan rawatan mereka telah diputuskan secara rawak. Kami dapat menggabungkan data bagi 635 orang lima daripadavtujuh kajian; untuk baki 163 orang daripada dua kajian, tiada data untuk diguna di dalam ulasan ini

Keputusan utama

Kajian ini mendapati tiada bukti untuk mencadangkan perbezaan di antara phenobarbitone dan phenytoin dari segi masa untuk perulangan sawan dan masa untuk remisi sawan (tempoh bebas sawan enam atau 12 bulan). Rawatan phenobarbitone lebih cenderung untuk ditarik balik berbanding rawatan phenytoin, walau bagaimanapun, ini mungkin dipengaruhi oleh reka bentuk kajian yang disertakan (sama ada orang-orang dan doktor yang merawat mengetahui rawatan yang diterima).

Kualiti bukti

Sesetengah kajian yang menyumbang data kepada ulasan bermasalah metodologi, yang mungkin telah memperkenalkan bias dan keputusan yang tak konsisten untuk ulasan ini. Kami juga percaya perbezaan reka bentuk kajian sama ada rawatan yang diberi dirahsiakan daripada pesakit dan doktor (e.g. dengan tablet plasebo) memberi impak kepada kadar penarikan diri daripada rawatan, yang juga mungkin mengimpak hasil yang berkaitan dengan kawalan sawan

Masalah-masalah tersebut mungkin telah mempengaruhi keputusan ulasan dan kami menilai kualiti bukti dalam ulasan ini adalah sederhana hingga rendah. Kami tidak mengesyorkan penggunaan keputusan ulasan ini sahaja untuk membuat pilihan di antara phenytoin atau phenobarbitone untuk rawatan epilepsi. Kajian-kajian akan datang yang membandingkan ubat-ubatan ini atau ubat antiepilepsi lain patut direka dengan kaedah-kaedah yang berkualiti tinggi untuk memastikan keputusan juga berkualiti tinggi.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Syameer Firdaus (Monash University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi msmoh50@mikotosyameer.com

Tools
Information