Penggunaan ubat imunosupresif mitoxantrone (MX) dalam kalangan pesakit dengan sklerosis berganda (multiple sclerosis; MS).

Ini adalah pengemaskinian ulasan Cochrane "mitoxantrone untuk sklerosis berganda" (diterbit dalam Cochrane Database of Systematic Reviews 2013, Issue 5)

MS merupakan satu penyakit diantarai imun yang kronik yang menjejaskan sistem saraf pusat (central nervous system; CNS). Ciri-ciri MS merangkumi keradangan dan demielinasi dalam pelbagai tempat di badan. Ubat seperti steroid, ejen immunomodulant dan ejen imunosupresif telah digunakan untuk mengubati penyakit ini. Antara mereka, MX, satu ejen imunosupresif yang digunakan secara meluas bagi merawati barah payu dara dan leukemia, telah diuji dalam kalangan pesakit MS. Dua ratus tujuh puluh artikel telah dikenal pasti dengan strategi pencarian sehingga Mei 2013. Tiga kajian menyumbang kepada ulasan ini, merangkumi 221 peserta. Data menunjukkan bahawa MX adalah efektif secara sederhana dalam mengurangkan risiko perkembangan MS dan frekuensi pengulangan penyakit dalam susulan jangka masa pendek (dua tahun) dalam kalangan pesakit yang mempunyai relapsing-remitting MS (RRMS) yang semakin teruk, progressive relapsing MS (PRMS) dan secondary progressive MS (SPMS). Namun demikian, kita haruslah berwaspada apabila mentafsirkan keputusan ini kerana kajian yang terpilih mempunyai ciri-ciri dan kualiti yang berbeza-beza dari segi jadual rawatan dan jenis pesakit yang dimasukkan.

Kesan sampingan yang paling kerap adalah loya dan muntah, rambut gugur, jangkitan saluran kencing dan leukopenia sementara; 35% pesakit wanita yang dirawati dengan MX mempunyai amenorea (tiada haid) sementara, dan hampir 15% mempunyai amenorea (tiada haid) yang berterusan sehingga tempoh akhir susulan. Data daripada kajian dengan tempoh susulan yang lebih panjang dan daripada kajian yang terpilih telah menimbulkan isu-isu kebimbangan tentang ketoksikan kepada jantung dalam 12% dan leukemia akut dalam 0.8% pesakit yang dirawati dengan MX.  

Oleh itu, rawatan MX haruslah dihadkan kepada pesakit dengan RRMS dan SPMS yang semakin teruk selepas penilaian yang cermat dari segi risiko dan manfaat bagi pesakit, dan pada masa yang sama, mempertimbangkan adanya rawatan alternatif dengan kurang kesan sampingan. Selain itu, pesakit yang dirawati MX haruslah disusuli selepas rawatan tamat untuk mengawal risiko kesan sampingan yang serius.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Xiao Ying (Penang Medical College). Disunting olen Tan May Loong (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan, berkaitan terjemahan ini sila hubungi xylee@ms.pmc.edu.my

Tools
Information
Share/Save