Rawatan pembedahan untuk penyakit berkaitan tiub dalam wanita yang akan menjalani persenyawaan in vitro

Soalan ulasan

Kami mengkaji keberkesanan dan keselamatan menjalankan pembedahan ke atas wanita dengan penyakit tiub fallopio yang diketahui, terutamanya hidrosalpinx (keadaan di mana cecair berkumpul di salah satu atau kedua-dua tiub fallopio, yang membawa kepada pembiakan yang kurang berjaya), sebelum persenyawaan in vitro (IVF) dan suntikan sperma intracytoplasmik (ICSI). Kami ingin membandingkan semua jenis pembedahan pada tiub fallopio dengan tanpa pembedahan sebelum IVF. Jenis pembedahan ini termasuk salpingektomi, di mana satu atau kedua-dua tiub fallopio dikeluarkan; halangan tiub, di mana tiub fallopio disekat menggunakan klip logam atau dibahagi dengan gunting dan elektrokauter supaya cecair dari hidrosalping yang ada tidak sampai ke rongga rahim; dan sedutan cecair hidrosalpingeal berpandukan ultrasound melalui faraj. Di mana terdapatnya bukti, kami juga ingin membandingkan sebarang jenis pembedahan tiub fallopio dengan jenis pembedahan tiub fallopio yang lain.

Latar belakang

Sehingga satu daripada lima wanita yang menderita dengan kemandulan didiagnosis dengan penyumbatan salah satu atau kedua-dua tiub fallopio. Rawatan IVF digunakan untuk wanita dengan penyakit berkaitan tiub, kerana telur dan sperma dimanipulasi di luar badan. Embrio yang dihasilkan dipindahkan kembali ke rongga rahim, tanpa memerlukan tiub fallopio terbuka. Walau bagaimanapun, penyelidikan menunjukkan bahawa dalam kes penyumbatan tiub, wanita mungkin mengalami keadaan yang disebut hidrosalpinx, di mana cairan terkumpul di dalam tiub dan dapat menghalang keberhasilan implantasi embrio yang dihasilkan oleh IVF. Oleh itu, pembedahan tiub telah disarankan untuk merawat hidrosalping, kerana ia dapat mencegah cairan hidrosalpingeal daripada mengalir ke rongga rahim. Sekiranya cecair ini sampai ke rongga rahim, ia akan memberi kesan negatif terhadap kejayaan pembiakan berbantu.

Ciri-ciri kajian

Kami menemui 11 kajian rawak terkawal yang membandingkan pembedahan tiub fallopio dengan tanpa pembedahan tiub pada 1386 wanita dengan hidrosalping sebelum IVF. Bukti adalah terkini sehingga Januari 2020.

Keputusan utama

Tidak ada kajian yang melaporkan tentang kadar kelahiran hidup dalam perbandingan utama pembedahan tiub berbanding tanpa pembedahan tiub. Berbanding tanpa pembedahan pada tiub fallopio, salpingektomi mungkin meningkatkan peluang kehamilan klinikal. Bukti menunjukkan bahawa jika peluang kehamilan klinikal diandaikan 19% tanpa salpingektomi, peluang kehamilan klinikal setelah salpingektomi adalah antara 27% dan 52%. Terdapat kekurangan data yang mencukupi untuk mengenal pasti kesan daripada pelbagai jenis pembedahan tiub pada kejadian buruk seperti komplikasi pembedahan, keguguran dan kehamilan ektopik.

Bukti kualiti

Selain daripada satu hasil berkualiti sederhana dalam satu perbandingan ulasan, bukti yang diberikan oleh 11 kajian ini berkisar dari sangat rendah hingga berkualiti rendah. Batasan-batasan utama dalam bukti kajian ini adalah kekurangan pembutaan (proses di mana wanita yang menyertai kajian, dan kakitangan penyelidikan, tidak mengetahui intervensi yang digunakan), ketidakkonsistenan (perbezaan antara kajian-kajian), dan ketidaktepatan (kesilapan rawak dan kajian bersaiz kecil).

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus, kelas siswazah 2020). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information