Penggunaan antagonis opioid dengan kesan ubat pelali yang minimum untuk menangani simtom pemberhentian opioid

Soalan ulasan

Kami menilai bukti-bukti berkenaan kesan antagonis opioid (naltrexone, naloxone) beserta kesan ubat pelali yang minimum untuk menangani simtom pemberhentian ubat dalam kalangan individu yang mempunyai masalah kebergantungan kepada opioid (contohnya, heroin atau opiat untuk kegunaan perubatan).

Latar belakang

Pengawalan simtom pemberhentian ubat, atau pendetoksikan, merupakan langkah pertama bagi rawatan jangka panjang masalah kebergantungan kepada opioid. Simtom-simtom yang merimaskan serta rasa gian yang amat sangat membuatkan proses melepasi fasa simtom pemberhentian ubat sukar untuk kebanyakan pesakit. Rasional disebalik penggunaan antagonis opioid untuk mencetus simtom pemberhentian ubat adalah kerana peralihan yang lebih cepat daripada fasa kebergantungan kepada fasa berpantang mungkin membolehkan proses melepasi fasa simtom penyah-ubat menjadi lebih mudah. Ulasan ini mengambilkira kesan rawatan menggunakan antagonis opioid berbanding pendekatan lain untuk menangani simtom pemberhentian ubat.

Tarikh carian

Bukti-bukti ini adalah terkini sehingga Disember 2016.

Ciri-ciri kajian

Kami telah mengenalpasti 10 kajian, iaitu enam ujian terkawal rawak (suatu kajian yang menempatkan peserta dalam satu kumpulan rawatan yang dipilih secara rawak daripada dua kumpulan rawatan atau lebih) dan empat kajian kohort prospektif (suatu kajian yang membolehkan peserta memilih rawatan yang diterima), yang keseluruhannya melibatkan 955 orang yang mengalami kebergantungan kepada opioid. Empat daripada kajian tersebut dijalankan di United Kingdom, tiga kajian di Amerika Syarikat, dua kajian di Itali dan satu kajian di Australia. Sembilan daripada 10 kajian tersebut membandingkan rawatan menggunakan gabungan antagonis opioid (naltrexone atau naloxone) dan agonis adrenergik (clonidine atau lofexidine) dengan rawatan menggunakan clonidine atau lofexidine sahaja. Beberapa lagi perbandingan dengan rawatan yang lain (seperti plasebo, pengurangan dos metadon, buprenorphine) yang turut dibuat dalam kajian-kajian tersebut adalah terlalu pelbagai untuk membolehkan analisis dibuat.

Empat daripada kajian tersebut mendapat bantuan dana daripada syarikat farmaseutikal.

Keputusan-keputusan utama

Kami tidak pasti sama ada kemuncak simtom nyah-ubat yang dicetus oleh gabungan antagonis opioid dan clonidine/lofexidine lebih teruk daripada clonidine/lofexidine sahaja, atau sama ada tahap keterukan secara purata sepanjang fasa simtom pemberhentian ubat adalah lebih rendah, kerana kepastian daripada bukti-bukti yang ada adalah sangat rendah.

Pengamal perubatan harus mengingatkan pesakit bahawa mereka berkemungkinan meracau pada hari pertama penggunaan naltrexone, terutama pada dos yang tinggi (> 25 mg) Pesakit juga perlu mengetahui bahawa simtom pemberhentian ubat akan berada pada tahap sederhana, dan simtom-simtom seperti sakit otot, muntah, cirit-birit dan kesukaran untuk tidur mungkin berterusan walaupun dengan rawatan.

Kualiti bukti

Kajian-kajian yang diteliti dalam ulasan ini mempunyai kualiti yang pelbagai. Secara umum, kajian-kajian tersebut mempunyai kualiti yang sangat rendah. Oleh yang demikian, terdapat ketidakpastian tentang faedah rawatan menggunakan antagonis opioid untuk mencetus simtom pemberhentian ubat sebagai suatu cara untuk menangani simtom pemberhentian berpunca daripada kebergantungan kepada opioid.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wan Nor Arifin (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wnarifin@usm.my.

Tools
Information
Share/Save