Antibiotik intravena yang diberi di rumah untuk orang dengan fibrosis sista

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti tentang kesan pemberian antibiotik di rumah kepada orang dengan fibrosis sista.

Latar belakang

Fibrosis sista adalah penyakit genetik serius yang berkait dengan jangkitan paru-paru berulang. Akibat jangkitan-jangkitan tersebut, penyakit paru-paru menjadi semakin teruk. Jangkitan paru-paru sering dirawat dengan antibiotik intravena (diberi terus ke vena) di hospital untuk beberapa minggu. Ia mahal dan mengganggu kehidupan orang dengan fibrosis sista. Rawatan boleh diberi di rumah jika pesakit dan penjaga mereka diberi cukup latihan dan sokongan. Kami mencari kajian rawak terkawal yang membandingkan rawatan antibiotik intravena di hospital dengan rawatan di rumah. Ini adalah kemas kini ulasan terbitan terdahulu.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga: 23 November 2015.

Ciri-ciri kajian

Kami temui satu kajian dengan 17 orang berumur 10 hingga 41 tahun yang mengalami jangkitan dengan Pseudomonas aeruginosa. Peserta yang mengambil bahagian dirawak ke dalam kumpulan yang diberi antibiotik di rumah atau antibiotik di hospital. Mereka yang menerima antibiotik di rumah pada mulanya menghabiskan sehingga empat hari di hospital dan diajar untuk menyedia dan memberi antibiotik intravena kendiri. Mereka kemudian dibenarkan discaj ke rumah dengan ubat dan peralatan yang cukup untuk tempoh rawatan dan kemudiannya dikunjungi di rumah. Semua peserta menerima jenis antibiotik yang sama dan tempoh antibiotik untuk sekurang-kurangnya 10 hari.

Keputusan utama

Tiada perbezaan ditemui dalam hasil klinikal, kesan sampingan, atau komplikasi yang berkait dengan rawatan intravena. Orang dengan antibiotik di rumah lebih letih dan mendapati rawatan lebih sukar untuk diurus. Ini mungkin kerana mereka lebih aktif dan perlu lebih sokongan. Terapi di rumah adalah lebih murah untuk keluarga dan hospital. Tiada perincian tentang kos tidak langsung. Kami menyimpulkan rawatan di rumah tidak memudaratkan orang dalam jangka masa pendek dan boleh mengurangkan gangguan sosial. Walau bagaimanapun, keputusan yang memihak kepada pilihan ini mesti dibuat secara individu.

Kualiti bukti

Bukti dalah sangat terhad dan penyelidikan lanjut sangat diperlukan untuk mengesyorkan penggunaannya.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information