Carbamazepine berbanding phenytoin (diberi sebagai rawatan ubat tunggal) untuk epilepsi

Ini merupakan Ulasan Cochrane versi yang telah dikemaskini ke atas penerbitan terdahulu, dalam Isu 2, 2017 dari Pangkalan Data Ulasan Sistematik Cochrane

Latarbelakang

Epilepsi ialah gangguan neurologi yang lazim di mana terjadinya sawan berulang yang disebabkan oleh discaj elektrik abnormal daripada otak. Kami mengkaji dua jenis sawan epilepsi di dalam ulasan ini: sawan permulaan yang umum, di mana discaj-discaj elektrik bermula dalam satu bahagian di dalam otak dan bergerak ke seluruh otak, dan sawan permulaan berfokal di mana sawan terjadi dalam dan menjejaskan hanya satu bahagian otak (keseluruhan hemisfera otak atau sebahagian lobus otak) Bagi kira-kira 70% pesakit epilepsi, sawan permulaan umum atau sawan permulaan berfokal boleh dikawal dengan satu ubat antiepileptik. Di serata dunia, phenytoin dan carbamazepine merupakan ubat-ubatan antiepileptik yang biasa digunakan, walaupun carbamazepine lebih kerap digunakan di Amerika Syarikat dan Eropah kerana kebimbangan ke atas kesan-kesan sampingan yang dikaitkan dengan phenytoin. Phenytoin masih lazim digunakan dalam negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana di Afrika, Asia dan Amerika Selatan, kerana kosnya yang rendah.

Objektif

Bagi ulasan yang dikemaskini ini, kami melihat bukti daripada 11 kajian klinikal rawak terkawal yang membandingkan phenytoin dan carbamazepine, berdasarkan keberkesanan ubat-ubatan dalam mengawal sawan (iaitu sama ada pesakit kembali mengalami sawan atau mengalami tempoh panjang bebas dari sawan (peredaan)), dan sejauh mana toleransi terhadap kesan sampingan berkaitan ubat-ubatan.

Kaedah

Kami dapat menggabungkan data bagi 595 orang daripada empat dari 11 kajian; untuk baki 507 orang daripada tujuh kajian, maklumat tidak dapat diperolehi untuk digunakan dalam ulasan ini. Bukti adalah terkini hingga Ogos 2018.

Keputusan utama

Ulasan kajian-kajian menemui tiada perbezaan di antara dua ubatan untuk jenis sawan yang dikaji bagi hasil kegagalan rawatan (penarikan diri daripada rawatan untuk mana-mana sebab dan juga penarikan diri dari rawatan kerana sawan berterusan atau kerana kesan-kesan sampingan) dan pengawalan sawan (ulangan sawan atau pencapaian tempoh bebas sawan (peredaan) selama enam bulan atau 12 bulan). Tiga suku daripada pesakit yang didaftarkan dalam empat kajian mempunyai sawan permulaan berfokal dan hanya suku dari pesakit yang didaftarkan dalam empat kajian mempunyai sawan permulaan yang umum, yang demikian, keputusan ulasan ini terutamanya terpakai kepada pesakit yang mempunyai sawan permulaan berfokal dan keputusan adalah sangat terhad bagi pesakit yang mempunyai sawan permulaan yang umum. Lebih maklumat diperlukan bagi penghidap sawan permulaan yang umum.

Beberapa kesan sampingan yang dilaporkan oleh pesakit yang mengambil carbamazepine dan yang mengambil phenytoin adalah sakit perut, loya, muntah, keletihan, masalah motor (seperti koordinasi yang lemah), masalah kognitif (memori yang teruk), ruam dan masalah kulit yang lain.

Kepastian bukti

Kami menilai kepastian bukti sebagai sederhana hingga rendah bagi bukti kegagalan rawatan, sederhana untuk hasil pengurangan / keredaan dan rendah untuk hasil sawan kerana kemungkinannya kesalahan dalam mengklasifikasi jenis sawan telah mempengaruhi keputusan ulasan. Dalam dua kajian yang membekalkan data bagi ulasan ini, rekabentuk kajian memperlihatkan pesakit dan pakar-pakar yang merawat mengetahui ubatan yang diambil oleh pesakit. Rekabentuk ini mungkin telah mempengaruhi keputusan-keputusan.

Beberapa kajian yang menyumbang data kepada ulasan mempunyai masalah metodologi, yang mungkin telah menyebabkan bias dan keputusan yang tidak konsisten ke dalam ulasan ini, dan sesetengah individu yang berumur lebih 30 tahun dengan sawan permulaan umum yang baru didiagnosis mungkin telah salah didiagnosis jenis sawan mereka. Masalah-masalah ini mungkin telah menjejaskan keputusan ulasan ini dan kami menilai kepastian bukti yang diberikan oleh ulasan ini sebagai sederhana bagi penghidap sawan permulaan berfokal dan kepastian yang rendah bagi penghidap sawan permulaan yang umum. Kami tidak menyarankan penggunaan keputusan ulasan ini sahaja bagi membuat pilihan antara carbamazepine atau phenytoin untuk rawatan epilepsi.

Kami mengesyorkan semua kajian pada masa depan yang membandingkan ubat-ubatan ini atau mana-mana ubat-ubatan antiepileptik lain harus direkabentuk menggunakan kaedah yang berkualiti tinggi, dan jenis sawan penghidap yang menyertai kajian harus diklasifikasi dengan berhati-hati untuk memastikan keputusan yang berkualiti tinggi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information