Penggunaan Desmosressin untuk mengurangkan keperluan transfusi darah bagi individu yang bakal menjalani pembedahan

Soalan ulasan

Bolehkah desmopressin (ubat yang digunakan untuk mencegah pendarahan) mengurangkan keperluan transfusi darah ketika seseorang menjalani pembedahan?

Latar belakang

Kehilangan darah adalah biasa semasa pembedahan besar. Transfusi darah dapat menggantikan darah yang telah hilang. Risiko yang berkaitan dengan transfusi darah termasuk reaksi terhadap darah, dan – terutamanya di negara berpendapatan rendah dan sederhana – jangkitan.

Desmopressin adalah ubat yang biasanya dikenali sebagai DDAVP (singkatan nama kimianya: 1-deamino-8-D-arginine vasopressin). Ia digunakan untuk individu yang dilahirkan dengan masalah yang menyebabkan mereka berisiko mengalami pendarahan, dan dapat membantu individu yang tidak mengalami gangguan pendarahan. DDAVP mengkin mempunyai kesan sampingan; misalnya, ubat ini dapat meningkatkan risiko serangan jantung atau strok, atau mengakibatkan tekanan darah rendah apabila ia diberikan.

Ciri-ciri kajian

Kami menyiasat sama ada pemberian DDAVP mengurangkan keperluan transfusi darah dalam kalangan orang yang menjalani pembedahan.

Kami mencari penulisan perubatan sehingga 3 April 2017. Kami mengenal pasti 65 kajian yang relevan dengan 3874 peserta (dewasa dan kanak-kanak). Semua kajian menilai kesan pemberian DDAVP sebelum, semasa, atau sejurus selepas pembedahan atau prosedur minor seperti biopsi. Kebanyakan kajian bertumpu kepada pembedahan jantung, atau tulang dan sendi orang dewasa. Sedikit kajian yang bertumpu pada pembendahan jantung kanak-kanak, pembedahan plastik, pembedahan pada saluran darah, atau pembedahan hati. Kajian-kajian ini dilakukan antara 1986 dan 2016. Sebelas kajian dibiayai syarikat farmaseutikal atau pihak yang mempunyai kepentingan komersial dalam hasil kajian.

Keputusan utama

Berbanding plasebo (bahan tidak aktif yang kelihatan sama seperti bahan yang diuji, iaitu DDAVP) atau tanpa rawatan, DDAVP mungkin sedikit mengurangkan jumlah darah yang ditransfusikan dalam pembedahan jantung orang dewasa. DDAVP mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam jumlah darah yang ditransfusikan dalam pembedahan jantung kanak-kanak, tulang dan sendi, pembedahan saluran darah utama, atau pembedahan hati. DDAVP mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam jumlah bilangan orang yang menerima transfusi darah. Sama ada DDAVP meningkatkan atau mengurangkan jumlah kehilangan darah adalah tidak pasti kerana kualiti bukti adalah sangat rendah. DDAVP mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam risiko kematian, serangan jantung, atau strok.

Bagi orang yang lebih terdedah terhadap pendarahan kerana mereka mengambil ubat antiplatelet yang menghentikan darah mereka dari membeku secara normal, DDAVP dapat mengurangkan jumlah sel darah merah yang ditransfusikan dan jumlah kehilangan darah. Ini mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam bilangan orang yang menerima transfusi sel darah merah. Sama ada DDAVP meningkatkan atau mengurangkan risiko kematian, serangan jantung, atau strok adalah tidak pasti kerana kualiti bukti adalah sangat rendah.

Berbanding dengan asid tranexamic (ubat yang digunakan untuk merawat atau menghalang kehilangan darah yang berlebihan) DDAVP mungkin kurang berkesan dalam mengurangkan jumlah darah yang ditransfusi dan jumlah kehilangan darah. Sama ada DDAVP meningkatkan atau mengurangkan bilangan orang yang menerima pemindahan darah, atau risiko kematian, serangan jantung, atau strok adalah tidak pasti kerana kualiti bukti adalah sangat rendah.

Berbanding dengan aprotinin (ubat lain yang digunakan untuk mengurangkan pendarahan) DDAVP mungkin meningkatkan bilangan orang yang menerima transfusi darah. Sama ada ia meningkatkan atau mengurangkan risiko serangan jantung atau strok adalah tidak pasti kerana kualiti bukti adalah sangat rendah. Tiada kajian yang membandingkan DDAVP dengan aprotinin yang melaporkan isipadu darah yang ditransfusikan, jumlah kehilangan darah keseluruhan, atau risiko kematian.

Antara 65 kajian yang dilakukan tiada yang menilai kualiti kehidupan.

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti bukti sebagai sangat rendah hingga sederhana bagi hasil di atas. Kami menganggap banyak kajian adalah berisiko tinggi berat sebelah dan mendapati keputusan mereka adalah tidak konsisten dan tidak tepat.

Kesimpulan

Keseluruhannya, perbezaan dalam pemindahan dan kehilangan darah apabila individu dirawat dengan DDAVP atau plasebo adalah kecil dan mungkin tidak penting secara klinikal. Ada kemungkinan individu yang lebih terdedah terhadap pendarahan, seperti mereka yang mengambil agen antiplatelet, mungkin memperoleh lebih banyak manfaat dari DDAVP. Sedikit kajian yang membandingkan DDAVP terhadap asid tranexamic atau aprotinin; oleh itu, kami tidak pasti sama ada DDAVP adalah lebih baik atau lebih teruk berbanding ejen-ejen ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Siti Amira Sariyathul Rusly. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information
Share/Save