Penambahan nutrisi bagi orang tua selepas patah tulang pinggul

Latar belakang dan matlamat

Orang tua yang mempunyai fraktur tulang pinggul kerap kali mengalami kekurangan zat ketika fraktur tersebut berlaku, dan kebanyakan dalam kalangan mereka kurang makan ketika di hospital. Malnutrisi boleh menghalang proses penyembuhan fraktur tulang pinggul. Kami telah menyorot kesan-kesan rawatan pemakanan dalam kalangan orang tua yang sedang memulih selepas patah tulang pinggul.

Hasil carian

Kami telah mencari kajian-kajian saintifik sehingga November 2015, dan menyertakan 41 kajian yang merangkumi 3881 peserta. Semua rawatan pemakanan telah dimulakan dalam tempoh sebulan selepas patah tulang pinggul. Kajian-kajian berkenaan mempunyai kelemahan dalam pengkaedahannya, yang mungkin memberi kesan kepada kebolehpercayaan dapatan-dapatan tersebut. Kualiti sesetengah bukti tadi adalah sangat rendah, lantas kami sangat tidak pasti akan dapatan-dapatan tersebut.

Dapatan utama

Lapan belas kajian menyiasat penggunaan makanan oral tambahan yang memberikan tenaga dari sumber bukan protein, protein, sesetengah vitamin dan mineral. Terdapat bukti berkualiti rendah bahawa makanan oral multinutrien ini mungkin tidak akan mengurangkan kadar kematian, tetapi mungkin boleh mengurangkan bilangan pesakit yang mempunyai komplikasi (seperti kudis tekanan, jangkitan, trombosis vena, embolisme pulmonari, kekeliruan). Terdapat bukti berkualiti rendah bahawa makanan oral multinutrien ini berkemungkinan mengurangkan kejadian-kejadian yang tidak diingini (kematian atau komplikasi), dan tidak meningkatkan kejadian muntah dan cirit-birit.

Empat kajian menyiasat penyuapan tiub nasogastrik, di mana suatu tiub dimasukkan melalui hidung ke dalam perut dan makanan cecair - yang mengandungi tenaga bukan protein, protein, sesetengah vitamin dan mineral - diberikan. Kajian-kajian ini mengandungi bukti berkualiti sangat rendah bahawa penyuapan melalui tiub, yang tidak diterima dengan baik, nampaknya tidak memberikan perbezaan terhadap kadar kematian atau komplikasi. Kesan-kesan buruk tidak dilaporkan, dan terdapat ketidakcukupan bukti mengenai kesan sampingan.

Satu kajian memberikan bukti berkualiti sangat rendah bahawa penyuapan melalui tiub nasogastrik dan seterusnya melalui mulut mungkin tidak memberi kesan kepada kadar kematian atau komplikasi. Pemberian makanan melalui tiub dilaporkan tidak diterima dengan baik.

Satu kajian memberikan bukti berkualiti sangat rendah bahawa pemberian makanan melalui vena dan seterusnya melalui mulut mungkin tidak memberi kesan kepada kadar kematian, tetapi berkemungkinan mengurangkan kadar komplikasi. Namun begitu, perkara yang menakjubkan kami adalah bahawa kaedah ini digunakan terhadap pesakit yang nampaknya mampu makan melalui mulut.

Peningkatan pengambilan protein dalam makanan oral telah dikaji dalam empat kajian. Terdapat bukti berkualiti rendah bahawa tidak terdapat kesan yang jelas terhadap kadar kematian atau komplikasi, dan bukti berkualiti sangat rendah bahawa terdapat pengurangan kejadian kesan buruk.

Kajian-kajian yang menyiasat vitamin B1 intravena, vitamin larut yang lain, 1-alfa-hidroksikolekalsiferol (vitamin D), vitamin D bolus dos tinggi, vitamin D dos oral yang berlainan, vitamin D dari sumber yang berlainan, zat besi intravena atau oral, ornitina alfa-ketoglutarate lawan sejenis penambahan peptida isonitrogen, taurina lawan plasebo, dan suatu penambahan yang mengandungi vitamin-vitamin, mineral-mineral dan asid amino, memberikan bukti berkualiti rendah atau sangat rendah bahawa tidak terdapat kesan yang jelas terhadap kadar kematian atau komplikasi, sekiranya dilaporkan.

Satu kajian yang menyiasat pemberian makanan oleh penolong-penolong dietetik, memberikan bukti berkualiti rendah bahawa ini boleh mengurangkan kadar kematian dan bukannya kadar komplikasi.

Kesimpulan

Penambahan tenaga bukan protein, protein, vitamin dan mineral oral, jika dimulakan sebelum atau semasa pembedahan, berkemungkinan mencegah komplikasi berikutan fraktur tulang pinggul dalam kalangan orang tua, tetapi mungkin tidak memberi kesan kepada kadar kematian. Ujikaji rambang yang mempunyai saiz sampel yang mencukupi diperlukan. Kami mencadangkan bahawa penilaian selanjutnya dilaksanakan dari segi peranan penolong-penolong dietetik dan penyuapan vena persisian atau penyuapan nasogastrik dalam kalangan pesakit yang kekurangan zat.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tan Wing (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Lai Nai Ming (School of Medicine, Faculty of Health and Medical Sciences, Taylor's University, Malaysia) Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi jame5wtan93@gmail.com

Tools
Information