Pelaziman fizikal sebagai sebahagian daripada strategi kembali bekerja untuk mengurangkan ketidakhadiran sakit bagi pekerja yang mengalami sakit belakang

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti tentang kesan pelaziman fizikal sebagai sebahagian daripada strategi kembali bekerja pada orang yang mengalami sakit pinggang. Kami menemui 25 kajian.

Latar belakang

Matlamat utama pelaziman fizikal sebagai sebahagian daripada strategi kembali bekerja, kadangkala dipanggil pelaziman kerja, pengerasan kerja atau program pemulihan dan senaman berfungsi, adalah untuk mengembalikan pekerja yang cedera atau kurang upaya untuk bekerja atau meningkatkan status kerja bagi pekerja yang melaksanakan tugas yang diubah suai. Program sedemikian juga boleh mensimulasikan atau menduplikasi kerja atau tugas berfungsi, atau kedua-duanya, menggunakan latihan dalam persekitaran yang selamat dan diselia. Latihan atau tugasan ini disusun dan digredkan secara progresif untuk meningkatkan toleransi psikologi, fizikal dan emosi serta meningkatkan daya tahan dan kebolehlaksanaan kerja. Dalam persekitaran sedemikian, pekerja yang cedera memperbaiki keadaan fizikal am mereka melalui program senaman yang bertujuan untuk meningkatkan kekuatan, daya tahan, fleksibiliti dan kecergasan kardiovaskular. Kami ingin mengetahui sama ada pelaziman fizikal adalah lebih atau kurang berkesan daripada penjagaan biasa dan jenis intervensi lain seperti terapi senaman.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga Mac 2012. Kami menganalisis 17 perbandingan pelaziman fizikal sebagai sebahagian daripada strategi kembali bekerja. Sesetengah kajian mengkaji pelaziman fizikal sebagai tambahan pada penjagaan seperti biasa berbanding penjagaan seperti biasa sahaja, dan yang lain membandingkan pelaziman fizikal dengan jenis campur tangan lain seperti terapi senaman standard. Peserta mempunyai sama ada sakit belakang akut (tempoh simptom kurang daripada enam minggu), sakit belakang subakut (tempoh simptom lebih daripada enam tetapi kurang daripada 12 minggu), atau sakit belakang kronik (tempoh simptom lebih daripada 12 minggu). Peserta diikuti selama mana-mana dari tiga minggu hingga tiga tahun. Kami membahagikan pelaziman fizikal kepada ringan atau sengit, bergantung pada keamatan dan tempohnya.

Keputusan utama

Keputusan menunjukkan bahawa pelaziman fizikal ringan tidak mempunyai kesan ke atas tempoh ketidakhadiran sakit bagi pekerja yang mengalami sakit belakang subakut atau kronik. Kami menemui keputusan yang bercanggah untuk pelaziman fizikal yang sengit untuk pekerja yang mengalami sakit belakang subakut. Pelaziman fizikal yang sengit mungkin mempunyai kesan kecil dalam mengurangkan cuti sakit pada 12 bulan susulan berbanding penjagaan biasa untuk pekerja yang mengalami sakit belakang kronik. Pengurusan penjagaan bersepadu yang melibatkan tempat kerja, atau pelaziman fizikal mungkin mempunyai kesan positif dalam mengurangkan cuti sakit, tetapi ini memerlukan penyelidikan lanjut.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah dari sangat rendah hingga sederhana. Walaupun 16 daripada kajian yang disertakan telah direka dengan baik dan tidak mempunyai kelemahan besar, beberapa kajian dijalankan dengan buruk dan bilangan peserta yang kecil dalam kebanyakan kajian merendahkan kualiti keseluruhan bukti.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi loketimkhaw@imu.edu.my

Tools
Information