Pembedahan pembuangan tonsil (tonsilektomi) bagi radang tonsilit akut yang berulang atau kronik

Soalan Kajian

Kajian ini membandingkan keberkesanan klinikal dan keselamatan pembedahan (pembuangan tonsil - tonsilektomi, atau adenotonsilektomi - pembuangan tonsil dan tisu adenoid) dengan rawatan secara bukan pembedahan dalam kalangan pesakit dewasa dan kanak-kanak dengan radang tonsil berulang atau kronik.

Latar Belakang

Pembedahan pembuangan tonsil ini merupakan pembedahan yang biasa dilakukan ke atas pesakit yang mengalami jangkitan yang berulang atau kronik pada tonsil (tonsilitis) atau tisu-tisu lain di belakang kerongkong (faringitis). Kadang-kadang, tisu adenoid juga dibuang semasa pembedahan. Walau bagaimanapun, terdapat perbezaan pendapat yang ketara tentang sama ada manfaat pembedahan ini melebihi risikonya.

Ciri-ciri Kajian

Ulasan ini mengambilkira bukti-bukti sedia ada sehingga 30 Jun 2014. Tujuh kajian dengan risiko kecenderungan yang rendah ke sederhana dinilai: lima melibatkan kanak-kanak (987 peserta) dan dua melibatkan orang dewasa (156 peserta). Kajian kelapan dalam kalangan 40 orang dewasa berisiko bias yang tinggi dan tidak menyediakan sebarang data untuk analisa.

Walaupun sesetengah kajian yang melibatkan kanak-kanak membuat susulan selama dua atau tiga tahun, maklumat yang boleh diambilkira hanyalah kira-kira setahun selepas pembedahan kerana bilangan peserta yang tidak datang rawatan susulan selepas tahun pertama adalah tinggi. Beberapa kajian telah memasukkan kanak-kanak yang terjejas lebih teruk oleh radang tonsilit daripada kajian-kajian lain (contohnya, mereka mempunyai radang tonsil yang lebih kerap dan gejala-gejala yang lebih teruk). Oleh yang demikian, pengulas membahagikan kanak-kanak ke dalam subkumpulan 'teruk terjejas' dan 'kurang teruk terjejas'.

Dua kajian dalam kalangan orang dewasa mempunyai tempoh rawatan susulan yang pendek (lima hingga enam bulan selepas pembedahan).

Hasil Utama

Kami mendapati pada umumnya kanak-kanak yang terjejas dengan radang tonsil akut yang berulang mungkin mendapat manfaat yang kecil dari adeno-/ tonsilektomi: prosedur ini akan menghindarkan sebanyak 0.6 episod sebarang jenis sakit tekak pada tahun pertama selepas pembedahan berbanding rawatan bukan pembedahan. Kanak-kanak yang menjalani pembedahan mempunyai purata tiga episod sakit tekak berbanding 3.6 episod yang dialami oleh kanak-kanak lain. Salah satu daripada tiga episod itu ialah ialah episod sakit yang disebabkan oleh pembedahan.

Berkenaan menghindari sakit tekak yang teruk, kanak-kanak yang mengalami radang tonsil yang lebih teruk atau kerap boleh mendapat manfaat lebih daripada pembedahan berbanding kanak-kanak kurang teruk terjejas. Bagi kanak-kanak yang kurang teruk terjejas, kelebihan menjalani adeno-/tonsilektomi adalah tidak jelas. Tiada terdapat data berkualiti bagi kesan pembedahan pada tahun-tahun kedua atau terkemudian selepas pembedahan.

Pengulas tidak mendapati cukup bukti untuk membuat kesimpulan yang kukuh mengenai keberkesanan tonsilektomi bagi pesakit dewasa dengan radang tonsil akut yang berulang/kronik. Bukti hanya tersedia untuk jangka masa pendek dan berkualiti rendah. Data juga turut sukar untuk ditafsirkan kerana kajian ini tidak mengambil kira bilangan hari kesakitan yang selalu dirasai selepas pembedahan. Berdasarkan dua kajian kecil, tonsilektomi seakan memberi hasil jumlah bilangan hari sakit tekak yang lebih sedikit dalam tempoh 6 bulan selepas pembedahan.

Dua kajian yang melibatkan kanak-kanak menyatakan bahawa mereka tidak dapat menemui perbezaan dari segi hasil kualiti kehidupan dan satu kajian tidak dapat mencari perbezaan jumlah ubat penahan sakit yang digunakan oleh kanak-kanak untuk membantu dengan sakit tekak mereka.

Pendarahan sejurus selepas tonsilektomi atau dalam dua minggu selepasnya adalah komplikasi yang penting. Kajian ini tidak menyediakan maklumat yang baik untuk membolehkan pengulas menilai dengan tepat risiko komplikasi ini.

Kualiti Bukti

Kami mendapati kualiti bukti adalah sederhana untuk data pada kanak-kanak (ini bermakna bahawa penyelidikan selanjutnya mungkin mempunyai kesan penting ke atas keyakinan pengulas dalam keputusan itu dan boleh mengubah keputusan tersebut). Kualiti terkesan oleh sebilangan besar kanak-kanak yang 'hilang ketiika rawatan susulan' selepas tahun pertama kajian. Di samping itu, sesetengah kanak-kanak yang dikategorikan dalam Kumpulan 'tanpa pembedahan' akhirnya menjalani pembedahan juga.

Kualiti bukti tonsilektomi dalam pesakit dewasa adalah rendah.

Seperti biasa, mana-mana potensi manfaat pembedahan harus dinilai dengan berhati-hati berbanding kemudaratan yang mungkin kerana prosedur ini dikaitkan dengan morbiditi yang kecil tetapi signifikan dalam bentuk pendarahan (sama ada semasa atau selepas pembedahan). Di samping itu, walaupun dengan ubat melegakan kesakitan yang baik, pembedahan ini adalah amat tidak selesa bagi orang dewasa.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi irfankb@usm.my

Tools
Information