Monoterapi (rawatan dengan ubat tunggal) sodium valproate atau phenytoin untuk epilepsi

Ini adalah versi terbaru dari ulasan Cochrane yang diterbitkan dalam terbitan 4, 2016 dari Pengkalan Data Ulasan Sistematik Cochrane.

Latar belakang

Epilepsi ialah gangguan saraf yang lazim di mana pelepasan elektrik tidak normal dari otak menyebabkan sawan berulang. Kami mengkaji dua jenis sawan epilepsi dalam ulasan ini: kejang permulaan umum, di mana pelepasan elektrik bermula dari satu bahagian otak dan menyebar ke seluruh otak; dan kejang permulaan fokal, di mana sawan dihasilkan dan memberi kesan kepada satu bahagian otak (seluruh hemisfera otak atau sebahagian lobus otak). Kejang fokal mungkin menjadi umum (generalisasi kedua) dan menyebar dari satu bahagian otak ke seluruh otak. Untuk kira-kira 70% pesakit dengan epilepsi, ubat antiepileptik tunggal boleh mengawal kejang permulaan umum atau permulaan fokal.

Objektif

Sodium valproate dan phenytoin biasanya digunakan sebagai rawatan untuk pesakit dengan epilepsi. Tujuan ulasan ini adalah untuk membandingkan bagaimana berkesan ubat-ubatan ini dalam mengawal sawan dan sama ada individu memilih untuk berhenti mengambil rawatan ini (kegagalan rawatan), supaya dapat memberitahu pilihan antara ubat-ubatan ini.

Kaedah-kaedah

Pencarian terakhir percubaan-percubaan untuk ulasan ini ialah 19 Februari 2018. Kami menilai bukti dari 11 percubaan klinikal rawak terkawal yang membandingkan sodium valproate dengan phenytoin dan kami dapat menggabungkan data untuk 699 orang dari lima daripada 11 percubaan; untuk baki 450 orang dari enam percubaan, data tidak tersedia untuk digunakan dalam kajian ini.

Keputusan utama

Kajian semula percubaan ini tidak menjumpai perbezaan di antara kedua-dua jenis ubat ini untuk jenis kejang yang dikaji untuk kegagalan rawatan (menarik diri daripada rawatan) dan pengawalan sawan (pengulangan sawan atau pencapaian tempoh bebas sawan (remisi) selama 6 bulan atau 12 bulan). Kajian ini juga tidak dapat mencari bukti untuk menyokong atau membantah dasar menggunakan sodium valproate untuk serangan kejang umum tonik-klonik dan phenytoin untuk serangan kejang permulaan fokal.

Walau bagaimanapun, sehingga 49% orang dalam percubaan yang diklasifikasikan sebagai sawan umum mungkin mempunyai jenis sawan yang salah dikenali dan orang-orang ini mungkin telah mengalami sawan fokal atau jenis sawan yang tidak tentu, dan salah klasifikasi ini mungkin telah mempengaruhi keputusan ulasan ini . Kami tidak dapat menangani isu dimana sodium valproate lebih suka digunakan untuk jenis kejang permulaan umum selain daripada tonik-clonic, seperti kejang absence atau myoclonic.

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti bukti sebagai sederhana hingga rendah untuk bukti kegagalan rawatan, sederhana untuk hasil remisi dan rendah untuk hasil sawan kerana kemungkinan salah klasifikasi jenis sawan dapat mempengaruhi keputusan ulasan. Dalam empat daripada lima kajian yang menyediakan data untuk ulasan ini, percubaan-percubaan tersebut telah dirancang bahawa pesakit dan klinisi yang memberi rawatan tahu ubat yang mereka ambil. Rancangan ini mungkin dapat mempengaruhi keputusannya.

Kesimpulan

Sodium valproate dan phenytoin adalah rawatan yang biasa digunakan untuk individu yang mempunyai epilepsi, tetapi kami mendapati tiada perbezaan antara rawatan-rawatan tersebut untuk hasil kajian ini atau antara jenis kejang. Maklumat lanjut adalah diperlukan dan kami mengesyorkan bahawa semua kajian pada masa depan yang membandingkan ubat-ubatan ini, atau ubat-ubatan antiepileptik lain, harus direka dengan menggunakan kaedah yang berkualiti tinggi. Jenis sawan dalam orang yang termasuk dalam percubaan juga harus diklasifikasikan dengan berhati-hati untuk memastikan hasilnya juga berkualiti tinggi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (International Medical University). Disunting Teh Keng Hwang (Kolej Universiti Insaniah ). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi peiyee95@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save