Ubat antiradang bukan steroid untuk dismenorea

Soalan ulasan

Adakah ubat antiradang bukan steroid (NSAID) selamat dan berkesan untuk kelegaan sakit haid (dismenorea) dan perbandingan di antara ubat-ubatan dan dengan parasetamol?

Latar belakang

Hampir tiga perempat wanita menderita sakit semasa haid atau senggugut (dismenorea). Penyelidikan menunjukkan wanita dengan sakit haid yang serius mempunyai paras prostaglandin yang tinggi, iaitu hormon yang menyebabkan sakit bahagian abdomen. NSAID adalah ubat yang menyekat penghasilan prostaglandin. NSAID termasuklah ubat tahan sakit biasa seperti aspirin, naproxen, ibuprofen dan asid mefenamik. Para penyelidik di dalam Kolaborasi Cochrane mengulas bukti tentang keselamatan dan keberkesanan NSAID untuk sakit haid. Bukti adalah terkini sehingga Januari 2015.

Ciri-ciri kajian

Kami menemui 80 kajian rawak terkawal (RCT), yang memasukkan sejumlah 5820 wanita dan membandingkan 20 jenis NSAID dengan plasebo (pil tidak aktif), parasetamol atau satu sama lain. Kebanyakan kajian tersebut dibiaya secara komersial (59%) dan 31% tidak menyatakan sumber pembiayaan mereka.

Keputusan-keputusan utama

Ulasan ini mendapati NSAID sangat berkesan melegakan sakit haid. Bukti mencadangkan jika 18% wanita yang mengambil plasebo mencapai kelegaan sakit sederhana hingga baik, antara 45% dan 53% yang mengambil NSAID akan sedemikian. NSAID dilihat lebih berkesan daripada parasetamol, tetapi adalah tidak jelas sama ada sebarang NSAID lebih selamat atau lebih berkesan berbanding yang lain.

NSAID kerap menyebabkan kesan buruk (kesan sampingan), termasuk senak, sakit kepala dan rasa mengantuk. Bukti mencadangkan jika 10% wanita yang mengambil plasebo mengalami kesan sampingan, antara 11% dan 14% wanita yang mengambil NSAIDs juga akan sedemikian.

Berdasarkan dua kajian yang membandingkan jenis-jenis NSAID, tiada bukti jenis NSAID yang lebih baharu (dikenali sebagai perencat spesifik COX-2) adalah lebih berkesan untuk rawatan dismenorea berbanding NSAID tradisional (dikenali sebagai perencat bukan-selektif), serta tiada perbezaan di antaranya berkaitan kesan buruk.

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti bukti adalah rendah untuk kebanyakan perbandingan, terutama akibat pelaporan kaedah kajian yang kurang memuaskan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Denise Chai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal)

Tools
Information
Share/Save