Glukokortikosteroid untuk orang dengan hepatitis alkoholik

Soalan Ulasan

Untuk menilai manfaat dan mudarat glukokortikosteroid yang diberi melalui sebarang laluan, dos, dan tempoh berbanding plasebo atau tanpa intervensi dalam kalangan orang dengan hepatitis alkoholik dari segi kematian, kualiti hidup berkaitan kesihatan, dan komplikasi.

Latar belakang

Pengambilan alkohol berlebihan mungkin merosakkan hati, menyebabkan hepatitis alkoholik. Tahap pertama kerosakan hati dalam hepatitis alkoholik biasanya boleh berbalik jika orang menahan diri dari meminum alkohol, tetapi risiko penyakit itu terus berkembang dan mendapat semakin banyak komplikasi meningkat dengan meminum semula. Peminum tegar adalah orang yang meminum lebih daripada 30 g (untuk lelaki) atau lebih daripada 20 g (untuk wanita) alkohol setiap hari. Hanya 10 hingga 35 orang daripada 100 peminum tegar dengan lemak berlebihan di hati paling mungkin membentuk hepatitis alkoholik. Lama-kelamaan, hepatitis alkoholik akan menyebabkan fibrosis hati (parut di hati) atau sirosis hati dengan komplikasi (perdarahan, jangkitan, kanser hati, dll).

Glukokortikosteroid dianggap mempunyai kesan anti-radang (melegakan sakit, bengkak (edema), demam). Ia diberi kepada orang dengan hepatitis alkoholik untuk membaiki kecederaan hati mereka. Walau bagaimanapun, manfaat dan mudarat glukokortikosteroid masih belum dikaji dengan meluas dalam kajian rawak klinikal (kajian di mana orang secara rawak dimasukkan ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan), oleh itu, adalah tidak dapat pasti jika ia patut diguna dalam amalan klinikal untuk orang dengan penyakit hati alkoholik.

Tarikh carian

Tarikh carian terakhir adalah 18 Januari 2019.

Ciri-ciri kajian

Enam belas kajian rawak klinikal membandingkan glukokortikosteroid dengan plasebo atau tanpa intervensi dalam kalangan orang dengan hepatitis alkoholik. Lima belas kajian menyediakan data untuk analisis (927 peserta menerima glukokortikosteroid dan 934 peserta menerima plasebo atau tanpa intervensi). Glukokortikosteroid diberi melalui oral atau suntikan untuk median 28 hari (julat dari 3 hari hingga 12 minggu). Peserta kajian berumur di antara 25 dan 70 tahun, 65% adalah lelaki dan mempunyai pelbagai tahap penyakit hati alkoholik. Peserta kajian disusuli sehingga masa discaj dari hospital, atau sehingga mereka meninggal dunia (median 63 hari), atau sekurang-kurangnya setahun. Tidak semua kajian melaporkan susulan peserta. Kajian dilakukan di Perancis, India, UK, dan AS. Dua kajian memberi pentoxifylline (ubat yang diguna untuk penyakit saluran darah) kepada kedua-dua kumpulan glukokortikosteroid dan kumpulan intervensi plasebo.

Pembiayaan

Berdasarkan maklumat yang kami kumpul dari laporan kajian yang diterbitkan, hanya satu kajian tidak dibiayai oleh industri, dan 15 kajian selebihnya tidak melaporkan dengan jelas sama ada dibiaya separa atau sepenuhnya oleh industri.

Kebolehpercayaan bukti

Kebolehpercayaan keseluruhan bukti adalah rendah untuk kualiti hidup berkaitan kesihatan dan sangat rendah untuk kematian akibat sebarang punca sehingga tiga bulan selepas kemasukan dalam kajian; kesan sampingan serius semasa rawatan; kematian berkaitan dengan hati sehingga tiga bulan selepas kemasukan dalam kajian; bilangan peserta dengan sebarang komplikasi sehingga tiga bulan selepas kemasukan dalam kajian dan bilangan peserta dengan kesan sampingan tidak serius sehingga tiga bulan susulan selepas tamat rawatan. Semua kajian kecuali satu berisiko bias tinggi, yang bermaksud terdapat kemungkinan membuat kesimpulan yang salah, membesar-besarkan manfaat, atau penganggaran kurang kemudaratan glukokortikosteroid kerana cara kajian dilaksanakan dan dianalisis.

Keputusan-keputusan utama

Kami tidak dapat menentukan sama ada glukokortikosteroid mempunyai kesan positif atau negatif terhadap orang dengan penyakit hati alkoholik. Walaupun terdapat data tentang hasil iaitu kematian, kualiti hidup berkaitan kesihatan, dan komplikasi serius, kami tidak dapat membuat kesimpulan yang kukuh terutamanya kerana data sedia ada masih tidak cukup untuk menghasilkan keputusan teguh, kajian adalah kecil, dan peserta yang terlibat berbeza keterukan penyakit. Oleh itu, kami hanya sedikit yakin terhadap kesimpulan kami.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save