Pilihan bahan graf pintasan untuk pintasan arteri kaki

Latar belakang

Seseorang yang mengalami sakit arteri yang parah di dalam satu atau kedua-dua kaki boleh mengalami kesakitan sewaktu berjalan (klaudikasi intermiten), sakit ketika rehat, atau kematian tisu di kaki. Apabila arteri paha utama lama tersumbat, pilihan terbaik adalah memasukkan pintasan untuk membawa darah dari arteri dengan aliran darah yang baik ke arteri yang terjejas di bawah sumbatan. Pintasan bertujuan untuk memperbaiki berjalan, atau untuk menyelamatkan anggota yang mungkin memerlukan amputasi. Jenis-jenis bahan yang sedia ada untuk membuat pintasan termasuklah vena sendiri (vena autologous), vena umbilikal manusia, dan bahan prostetik politetrafluoroetilena (PTFE) atau Dacron, secara tunggal atau dengan agen pencair darah heparin yang terikat pada bahagian dalam graf. Graf pintasan hingga ke bawah lutut adalah tidak begitu berkesan di paten berbaki (terbuka) dengan aliran darah yang baik seperti yang di atas lutut. Tujuan ulasan ini adalah untuk menentukan jenis bahan yang paling berkesan untuk digunakan pada graf pintasan di atas lutut dan di bawah lutut.

Ciri-ciri kajian dan keputusan utama

Kami mengenal pasti 19 kajian rawak terkawal yang melibatkan sejumlah 3123 orang. Dari mereka ini, 2547 diberi pintasan graf atas lutut dan 576 diberi pintasan graf di bawah lutut. Bukti dalam ulasan kami adalah terkini sehingga 13 Mac 2017. Dari analisis kami, kami mendapati bahawa graf yang dibuat dari vena seseorang mempunyai kadar paten primer (aliran darah) lebih baik daripada bahan prostetik PTFE atau Dacron untuk pintasan graf di atas lutut. Sementara itu, Dacron (dan mungkin juga vena umbilikal manusia) mencapai aliran darah yang lebih baik (patensi) daripada PTFE. Kami juga mendapati bahawa Dacron dengan cincin sokongan di sekitarnya (yang direka untuk mencegah pemampatan luaran) menunjukkan patensi yang lebih teruk daripada Dacron yang tidak disokong apabila diguna dalam graf di atas lutut.

Menambah kaf vena tidak memperbaiki patensi PTFE untuk graf hingga ke bawah lutut. Kajian-kajian yang disertakan memberi sedikit hasil tentang berapa lama anggota terselamat selepas prosedur pintasan. Tidak banyak konsistensi antara kajian-kajian (dan kadang-kadang di dalam kajian) berkaitan dengan orang yang mengambil ubat tambahan seperti antiplatelet atau antikoagulan, dan ini mungkin mempengaruhi keputusan-keputusan.

Kualiti bukti

Kualiti bukti keseluruhan adalah sangat rendah hingga sederhana. Isu-isu yang mempengaruhi kualiti bukti termasuklah perbezaan dalam reka bentuk kajian, dan perbezaan jenis graf yang dibandingkan. Perbezaan-perbezaan ini bermakna kami hanya dapat menggabungkan dan menganalisis bilangan peserta yang kecil dan ini mengakibatkan ketidakpastian kesan sebenar jenis graf yang diguna.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save