Tambahan topiramate untuk epilepsi fokal tahan ubat

Latar belakang

Epilepsi ialah satu gangguan di mana sawan berulang disebabkan oleh perlepasan elektrik yang abnormal dari otak. Kebanyakan sawan boleh dikawal dengan satu ubat antiepileptik. Malangnya, sesetengah orang memerlukan lebih daripada satu ubat antiepileptik untuk mengawal sawan mereka, terutama jika ianya berasal dari satu kawasan otak (epilepsi fokal), bukannya menjejaskan seluruh otak (epilepsi umum). Mereka ini dikatakan mempunyai epilepsi tahan ubat. Topiramate boleh digunakan sebagai tambahan kepada ubat-ubatan antiepileptik yang lain, dipanggil rawatan tambahan, untuk cuba mengawal epilepsi tahan ubat.

Tujuan ulasan ini

Ulasan ini menyiasat keberkesanan dan toleransi topiramate apabila digunakan sebagai rawatan tambahan untuk pesakit yang mempunyai epilepsi fokal tahan ubat.

Keputusan

Kami mendapati 12 kajian yang menyiasat topiramate sebagai rawatan tambahan. Mereka melibatkan sejumlah 1650 orang pesakit epilepsi fokal tahan ubat. Kajian-kajian ini membandingkan ubat topiramate antiepileptik dengan ubat plasebo (ubat yang tidak aktif, ubat yang sepatutnya tidak menunjukkan sebarang kesan) untuk tempoh sehingga 18 minggu. Mengambil kesemua bukti kajian-kajian itu, ulasan mendapati bahawa topiramate hampir tiga kali lebih berkesan, apabila digunakan dengan ubat-ubatan lain, dalam mengurangkan bilangan sawan dalam epilepsi fokal tahan ubat berbanding plasebo. Penambahan topiramate kepada rawatan biasa pesakit, walau bagaimanapun, dikaitkan dengan peningkatan kesan buruk seperti masalah dengan koordinasi (ataxia), perhatian, pening, rasa mengantuk (kelelahan), keletihan, 'pemikiran tidak normal', kulit menggelitik atau kebas (paraesthesia) dan penurunan berat badan. Pesakit yang mengambil topiramate tambahan juga adalah dua kali lebih mungkin untuk menarik diri daripada rawatan berbanding mereka yang mengambil plasebo, berkemungkinan disebabkan oleh kesan buruk.

Kepastian bukti

Kami menilai kajian-kajian berkaitan dengan potensi berat sebelah dan kepastian. Secara keseluruhan, kami menaraf kepastian bukti sebagai sederhana hingga tinggi yang bermaksud bahawa kami agak pasti bahawa penemuan yang kami laporkan adalah tepat. Kajian-kajian yang dimasukkan dalam ulasan ini tidak mengkaji kesan jangka panjang topiramate sebagai rawatan tambahan dan hanya satu kajian menyiasat penggunaan topiramate tambahan dalam kalangan kanak-kanak. Oleh itu, penemuan ini hanya patut digunakan untuk orang dewasa dengan epilepsi fokal tahan ubat. Kajian pada masa hadapan patut menguji dos yang paling berkesan.

Bukti adalah terkini sehingga Julai 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com

Tools
Information