Gabapentin sebagai tambahan untuk epilepsi fokal tahan ubat

Latar belakang

Epilepsi ialah satu gangguan di mana sawan berulang disebabkan oleh pelepasan elektrik yang abnormal dari otak. Bukti dari kajian rawak terkawal (kajian klinikal yang direka dengan baik di mana orang diperuntukkan secara rawak untuk menguji ubat tertentu, rawatan atau intervensi lain) sering diguna untuk menilai keberkesanan dan keselamatan ubat antiepileptik dalam kalangan orang yang mengalami sawan tersebut. Ulasan ini memasukkan 12 kajian dan data daripada 2607 orang dengan sawan fokal (sawan yang berlaku hanya di satu bahagian otak).

Ciri-ciri kajian

Data daripada enam kajian telah digabungkan dalam analisis. Semua peserta (termasuk orang dewasa dan kanak-kanak) sebelum ini mengambil sekurang-kurangnya satu ubat antiepileptik dan semuanya terus mengalami sawan. Gabapentin (ubat antiepileptik) atau plasebo (tablet yang tidak mengandungi ubat) telah ditambah kepada rejimen ubat.

Keputusan utama

Keputusan menunjukkan gabapentin berkesan mengurangkan sawan apabila digunakan sebagai rawatan tambahan. Berbanding dengan plasebo, gabapentin hampir dua kali ganda dapat mengurangkan sawan sebanyak 50% atau lebih. Kesan sampingan yang paling lazim berkaitan dengan gabapentin adalah ataksia (koordinasi teruk dan gaya jalan yang tidak stabil), pening, keletihan dan mengantuk.

Kualiti bukti

Secara keseluruhan kualiti bukti adalah rendah hingga sederhana kerana maklumat tidak dilaporkan untuk semua peserta di dalam beberapa kajian dan beberapa keputusan adalah tidak tepat. Penyelidikan kesan-kesan penggunaan gabapentin jangka panjang diperlukan.

Bukti ini adalah terkini sehingga 20 Mac 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save