Gabapentin sebagai tambahan untuk epilepsi fokal tahan ubat

Latar belakang

Epilepsi ialah satu gangguan di mana sawan berulang disebabkan oleh nyahcas elektrik yang abnormal dari otak. Bukti dari kajian rawak terkawal (kajian klinikal rekaan baik di mana orang diperuntukkan secara rawak untuk menguji ubat tertentu, rawatan atau intervensi lain) sering diguna untuk menilai keberkesanan dan keselamatan ubat antiepileptik dalam kalangan orang yang mengalami sawan tersebut. Ulasan ini memasukkan 12 kajian dan data 2607 orang dengan sawan fokal (sawan yang berlaku hanya di satu bahagian otak).

Ciri-ciri kajian

Data daripada enam kajian telah digabung dalam analisis. Semua peserta (termasuk dewasa dan kanak-kanak) sebelum ini mengambil sekurang-kurangnya satu ubat antiepileptik dan kesemua terus mengalami sawan. Gabapentin (ubat antiepileptik) atau plasebo (tablet yang tidak mengandungi ubat) telah ditambah kepada rejimen ubat.

Keputusan utama

Keputusan menunjukkan gabapentin berkesan mengurangkan sawan apabila diguna sebagai rawatan tambahan. Berbanding plasebo, gabapentin hampir dua kali lebih cenderung mengurangkan sawan sebanyak 50% atau lebih. Kesan sampingan paling lazim berkaitan dengan gabapentin adalah ataksia (koordinasi teruk dan gaya jalan tidak stabil), pening, keletihan dan mengantuk.

Kualiti bukti

Secara keseluruhan kualiti bukti adalah rendah hingga sederhana kerana maklumat tidak dilaporkan untuk semua peserta di dalam sesetengah kajian dan beberapa keputusan adalah tidak tepat. Penyelidikan diperlukan tentang kesan penggunaan gabapentin jangka panjang, dan untuk membandingkan gabapentin dengan ubat tambahan lain.

Bukti adalah terkini sehingga 11 Ogos 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information