Antibiotik berpanjangan untuk bronkiektasis bernanah dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa

Adakah terapi antibiotik berpanjangan memberi manfaat dalam rawatan pesakit yang mempunyai bronkiektasis bernanah?

Mengapakah soalan ini penting?

Bronkiektasis fibrosis bukan sistik adalah suatu keadaan kronik yang bercirikan dilatasi saluran pernafasan yang abnormal. Walaupun prevalen global penyakit ini tidak diketahui, data sedia ada dari Australia, New Zealand, Amerika Syarikat dan England menunjukkan bronkiektasis kini didiagnos dengan lebih kerap. Paru-paru pesakit bronkiektasis mempunyai rembesan yang berlebihan dan cenderung untuk mendapat jangkitan dari pelbagai jenis mikroorganisma. Terapi antibiotik jangka panjang telah dicadangkan untuk menghentikan kerosakan paru-paru berterusan akibat serangan mikroorganisme. Oleh itu, kami berusaha untuk menilai keberkesanan terapi antibiotik yang berpanjangan ke atas pesakit bronkiektasis.

Bagaimanakah kami menjawab soalan tersebut?

Kami mencari semua kajian yang membandingkan terapi antibiotik berpanjangan dengan rawatan biasa dan/atau ubat plasebo.

Apa yang kami dapati?

Kami mendapat 18 kajian, melibatkan 1157 orang yang mempunyai bronkiektasis fibrosisbukan sistik; kebanyakannya adalah orang dewasa. Dua belas kajian menggunakan tablet antibiotik (contohnya azithromycin, erythromycin, roxithromycin, amoxicillin, clarithromycin, penisilin, oxytetracycline, ciprofloxacin). Manakala, baki enam kajian melaporkan penggunaan ubat-ubatan yang dihidu. Antibiotik diberikan selama empat minggu hingga 83 minggu. Dalam tujuh kajian, keterukan penyakit yang serupa sebelum kajian bermula telah disokong oleh bilangan sejarah kemasukkan hospital dan serangan penyakit yang teruk.

Kualiti keseluruhan bukti adalah sederhana. Apabila sesuatu hasil dinilai sebagai berkualiti tinggi, penyelidikan lanjut tidak akan mengubah keyakinan kami dalam anggaran kesan rawatan, tetapi penilaian sederhana mencerminkan beberapa ketidakpastian dalam penemuan-penemuan kajian.

Kesimpulan

Terapi antibiotik yang berpanjangan dalam bronkiektasis memberi manfaat, terutamanya dalam mengurangkan risiko serangan penyakit dan kemasukkan hospital pada masa depan. Antibiotik juga mudah diterima oleh peserta tanpa perbezaan yang ketara dengan kesan buruk (contohnya ketaktoleranan, simptom dada, keletihan, demam, dan jantung berdebar-debar).

Walau bagaimanapun, ketahanan antibiotik adalah satu perkara yang membimbangkan, terutamanya bagi pesakit yang mempunyai alahan ubat, yang akan menghadkan rawatan mereka pada masa depan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Raymond Chieng Siang Ching (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi raymondchieng@gmail.com.

Tools
Information