Bolehkah suntikan vaksin pneumokokus mencegah pneumonia dalam kalangan pesakit COPD?

Kami ingin mengetahui sama ada vaksin pneumokokus boleh mengurangkan risiko pneumonia dan kematian berkaitan bagi penghidap penyakit obstruktif pulmonari kronik (COPD). Kami mendapati sebanyak 12 kajian yang melibatkan 2171 peserta. Bukti-bukti yang dikumpul dalam ulasan ini adalah terkini sehingga Disember 2015.

Latar belakang

Orang dengan COPD berisiko tinggi mendapat penyakit pernafasan seperti pneumonia yang disebabkan bakteriaStreptococcus pneumoniae, pneumonia perolehan masyarakat yang lain dan eksaserbasi COPD akut. Penyakit-penyakit ini meningkatkan kematian dan dikaitkan dengan peningkatan kos penjagaan kesihatan.

Ciri-ciri kajian

Dalam ulasan yang dikemaskini ini, kami mengenal pasti lima kajian baru (606 peserta), menambahkan bilangan kajian kepada 12 dan melibatkan 2171 peserta dengan COPD. Purata umur peserta adalah 66 tahun, 67% adalah lelaki dan semua peserta telah menerima diagnosis COPD sederhana hingga teruk. Sebelas kajian membandingkan vaksin suntikan dengan kawalan, dan satu kajian membandingkan dua jenis vaksin suntikan.

Keputusan-keputusan utama

Orang yang telah menerima vaksin adalah kurang berkemungkinan untuk mengalami satu episod pneumonia perolehan masyarakat; 19 orang dengan COPD (selang keyakinan 95% (CI) 13 hingga 52) perlu diberi vaksin untuk mencegah satu episod pneumonia. Vaksinasi tidak menunjukkan perbezaan dalam risiko pneumonia yang disebabkan oleh S pneumoniae atau risiko kematian atau risiko dimasukkan ke hospital. Orang yang telah menerima vaksin adalah kurang berkemungkinan untuk mengalami eksaserbasi COPD; lapan orang dengan COPD (95% CI 5 hingga 58) perlu diberi vaksin untuk mencegah satu orang daripada eksaserbasi akut. Kami mendapati tiada perbezaan dalam keberkesanan antara kedua-dua jenis vaksin suntikan.

Kualiti bukti kajian

Bukti dalam kajian ini secara umumnya adalah tidak bersandar dan boleh dipercayai, dan kami agak pasti tentang keputusan tersebut.

Kesimpulan

Selaras dengan garis panduan semasa, ulasan ini mencadangkan bahawa semua orang dengan COPD patut diberi vaksin pneumokokus untuk memberikan sedikit perlindungan terhadap pneumonia perolehan masyarakat, dan untuk mengurangkan risiko eksaserbasi akut.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Teoh Ru Jian Jonathan (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Tan May Loong (RCSI & UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information