Agen mukolitik untuk bronkitis kronik atau penyakit pulmonari obstruktif kronik

Latar belakang kepada soalan

Penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD) dan bronkitis kronik adalah masalah pernafasan jangka panjang. Mereka menyebabkan gejala seperti sesak nafas, batuk, dan kahak yang berlebihan. Pesakit COPD dan bronkitis kronik mungkin mengalami eksaserbasi apabila gejala mereka menjadi lebih teruk.

Mukolitik adalah ubat-ubatan yang diambil secara oral yang boleh mencairkan kahak, menjadikannya lebih mudah untuk keluar. Mukolitik mungkin mempunyai kesan manfaat yang lain pada jangkitan paru-paru dan keradangan dan boleh mengurangkan bilangan eksaserbasi kepada pesakit COPD dan bronkitis kronik. Mukolitik juga boleh disedut, tetapi kami tidak melihat kepada mukolitik yang disedut dalam ulasan ini.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari kajian yang dijalankan sekurang-kurangnya dua bulan, di mana ia dilakukan secara rawak sama ada seseorang menerima ubat mukolitik atau plasebo. Kami tidak memasukkan kajian yang melibatkan kanak-kanak atau pesakit dengan masalah pernafasan lain seperti asma dan fibrosis sistik.

Kami menjumpai 38 kajian untuk dimasukkan dalam ulasan ini. Kajian-kajian ini melibatkan 10,377 orang dewasa dengan COPD atau bronkitis kronik. Kajian menggunakan pelbagai ubat mukolitik, termasuk N-asetilcysteine, carbocysteine, dan erdosteine dan dijalankan selama dua bulan hingga tiga tahun. Mukolitik diambil melalui mulut antara satu hingga tiga kali sehari. Kajian-kajian ini mengukur beberapa hasil yang berbeza untuk mengetahui sama ada ubat itu berguna, termasuk eksaserbasi, kemasukan ke hospital, kualiti hidup, fungsi paru-paru, dan kesan sampingan.

Keputusan utama

Kami mendapati bahawa mereka yang mengambil ubat mukolitik kurang berkemungkinan mengalami eksaserbasi berbanding mereka yang mengambil plasebo. Kira-kira lapan orang perlu mengambil ubat selama sembilan bulan untuk mengelakkan seorang mengalami eksaserbasi. Keputusan ini berdasarkan pada 28 kajian yang melibatkan 6723 orang. Walau bagaimanapun, kajian yang terdahulu (1970-an hingga 1990-an) menunjukkan manfaat yang lebih besar daripada yang kini. Kajian yang lebih pendek juga menunjukkan lebih banyak manfaat daripada kajian yang lebih lama. Ini mungkin kerana kajian-kajian baru lebih besar dan ia mungkin menunjukkan bahawa mukolitik kurang berfaedah daripada kajian terdahulu. Atau mungkin sebelum tahun 2000-an, hanya kajian yang memperlihatkan mukolitik sebagai bermanfaat sahaja diterbitkan, apabila terdapat penolakan untuk melaporkan semua keputusan kajian tanpa mengira mereka menunjukkan manfaat atau tidak.

Mereka yang mengambil mukolitik mempunyai kurang hari ketidakupayaan (iaitu pada hari mereka tidak dapat melakukan aktiviti normal) setiap bulan, tetapi ini adalah perbezaan yang kecil - kurang daripada setengah hari untuk setiap orang setiap bulan. Kira-kira satu pertiga kurang berkemungkinan dimasukkan ke hospital, walaupun hasil ini hanya berdasarkan lima kajian yang melaporkan maklumat ini.

Hasil kajian menunjukkan bahawa mukolitik tidak mempunyai kesan penting terhadap kualiti hidup atau fungsi paru-paru. Mereka yang mengambil mukolitik tidak mengalami lebih banyak kesan sampingan yang tidak diingini daripada mereka yang mengambil plasebo. Tetapi kita tidak pasti tentang kesannya terhadap kematian semasa tempoh kajian kerana hanya 37 kematian berlaku dalam kalangan 3527 peserta kajian di mana kematian diukur dan dilaporkan.

Kualiti bukti

Kami sederhana yakin dengan kepututsan yang kami sampaikan. Keyakinan kami dikurangkan dengan keputusan setiap kajian yang kelihatan berbeza antara satu sama lain dan percampuran kajian lama dan baru yang kami dapati. Dalam beberapa kes juga tidak terdapat data yang mencukupi untuk memastikan sama ada mukolitik lebih baik atau lebih buruk daripada, atau sama seperti, plasebo.

Kesimpulan

Mukolitik nampaknya berguna untuk mengurangkan eksaserbasi, bilangan hari ketidakupayaan, dan kemasukan ke hospital bagi pesakit COPD atau bronkitis kronik, dan tidak kelihatan memberikan banyak kesan sampingan. Walau bagaimanapun, mereka tidak banyak memberi kesan pada kualiti hidup atau fungsi paru-paru, dan kami tidak pasti tentang kesannya terhadap kematian.

Ringkasan bahasa yang mudah ini adalah terkini sehingga April 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com

Tools
Information
Share/Save