Penggunaan barbiturate profilaktik untuk mencegah kematian atau masalah perkembangan yang serius pada bayi cukup bulan atau bayi pramatang lewat ('late preterm') berikutan asfiksia kelahiran (lemas dalam rahim).

Soalan Ulasan

Adakah penggunaan terapi barbiturate profilaktik mengurangkan kemungkinan kematian atau masalah perkembangan yang serius pada bayi cukup bulan dan bayi pramatang lewat ('late preterm') berikutan asfiksia kelahiran (lemas dalam rahim)?

Latarbelakang

Sawan biasa berlaku berikutan asfiksia kelahiran (di mana bayi tidak mendapat oksigen yang mencukupi semasa kelahiran). Serangan sawan ini boleh memburukkan lagi kecederaan otak yang disebabkan oleh asfiksia kelahiran. Dalam teori, rawatan dengan barbiturate (ubat yang menyebabkan relaksasi dan mengantuk dan digunakan untuk merawat sawan) diberikan kepada bayi selepas asfiksia kelahiran mungkin memperbaiki hasil dengan cara mencegah sawan dan melindungi otak. Rawatan tersebut dipanggil profilaksis kerana ia diberikan untuk mencegah sawan dan bukan merawat mereka apabila kejadian telah berlaku. Terapi barbiturate mempunyai beberapa kesan sampingan dan terdapat kebimbangan bahawa barbiturate mungkin menjejaskan perkembangan otak.

Ciri-ciri kajian

Kami telah mengenal pasti sembilan kajian klinikal untuk dimasukkan dalam ulasan ini melalui carian pangkalan data perubatan pada bulan November 2015. Kami mendapat bukti yang berkualiti rendah atau sangat rendah tentang barbiturate profilaktik pada bayi dengan asfiksia perinatal. Kajian-kajian dalam ulasan ini termasuk sebilangan kecil bayi-bayi dan hanya beberapa kajian yang meninjau kesihatan bayi dalam tempoh masa yang panjang.

Keputusan utama

Pada masa ini, tidak ada maklumat yang mencukupi untuk mengesyorkan pemberian terapi barbiturate kepada bayi baru lahir sejurus selepas asfiksia kelahiran, sebelum sawan bermula.

Kesimpulan

Ia tidak jelas sama ada pemberian barbiturate untuk bayi baru lahir tidak lama selepas asfiksia kelahiran tetapi sebelum sawan bermula adalah selamat atau berkesan. Lebih banyak kajian diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Foo Sook Lee (Penang Medical College). Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi fslee@pmc.edu.my.

Tools
Information
Share/Save