Adakah bahan bercetak bantuan mandiri membantu orang berhenti merokok?

Latar belakang

Kami mengulas bukti keberkesanan bahan bercetak bantuan mandiri dalam membantu orang untuk berhenti merokok. Kami mencari kajian-kajian sebarang jenis bantuan mandiri bercetak yang memberi sokongan berstruktur dan nasihat tentang merokok. Ini termasuk sebarang buku kecil, risalah, atau lembaran maklumat program berstruktur yang seseorang boleh ikuti untuk membantu mereka berhenti merokok. Kami juga menyertakan bantuan mandiri dalam format audio atau video, tetapi kami tidak sertakan program internet atau format lain. Kami berminat dengan jumlah orang yang tidak merokok sekurang-kurangnya enam bulan sejak mereka diberi bahan-bahan bantuan mandiri. Kajian-kajian perlu menyertakan perokok, tetapi tidak terdiri dari mereka yang sedang cuba untuk berhenti merokok.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari pangkalan data elektronik untuk kajian-kajian yang menyiasat bantuan mandiri bercetak. Kami menjalankan carian terbaharu pada Mac 2018, dan sehingga kini kami menemui 75 kajian. Kebanyakan kajian dijalankan di Amerika Utara atau Eropah dalam kalangan dewasa, walaupun mereka tidak perlukan orang yang ingin berhenti merokok untuk menyertai kajian. Kajian-kajian menyampaikan bahan-bahan bantuan mandiri secara peribadi atau melalui pos, sesetengah kajian menghantar sekaligus, dan sesetengah menghantarnya di sepanjang kajian. Dalam kebanyakan kajian, bantuan mandiri adalah satu-satunya sokongan yang diberi, tetapi sesetengah kajian menguji bantuan mandiri yang diberi bersama sokongan lain untuk menguji sama ada terdapat manfaat tambahan bantuan mandiri bertulis. Sesetengah kajian mengumpul maklumat tentang perokok individu, supaya mereka boleh sesuaikan bantuan mandiri untuk membantu mereka dengan lebih baik.

Keputusan utama

Sebelas kajian dengan lebih 13,000 orang menyediakan bukti manfaat kecil apabila bahan bantuan mandiri bercetak sahaja diberikan. Keyakinan kami dengan bukti ini hanya sederhana, kerana kajian-kajian ini dijalankan di negara-negara berpendapatan tinggi, yang memjadi kurang relevan untuk orang dari negara-negara berpendapatan rendah, yang mungkin mendapat manfaat yang berbeza. Apabila orang menggunakan bantuan mandiri dan menerima nasihat bersemuka bagaimana untuk berhenti merokok (11 kajian), tiada manfaat tambahan berbanding kesan nasihat tanpa bantuan mandiri bercetak.

Tiga puluh dua kajian menyediakan bantuan mandiri bertulis yang disesuaikan mengikut individu, berbanding sama ada dengan bantuan mandiri yang tidak disesuaikan atau tiada bantuan. Bukti berdasarkan sepuluh kajian dengan hampir 15,000 orang menunjukkan bantuan mandiri yang disesuaikan lebih membantu berbanding tiada bantuan. Keyakinan kami dengan bukti ini adalah sederhana, kerana sesetengah kajian mungkin bermasalah dalam cara perlaksanaan yang boleh mempengaruhi keputusan.

Kesimpulan

Apabila tiada sokongan, bahan bantuan mandiri bertulis membantu lebih banyak orang berhenti merokok berbanding tidak mendapat bantuan langsung. Orang lebih cenderung berjaya mencuba untuk berhenti merokok apabila mereka diberi juga sokongan bersemuka atau terapi penggantian nikotin, tetapi bantuan mandiri bercetak tidak membuat mereka lebih cenderung untuk berhenti merokok.

Bahan-bahan bantuan mandiri yang disesuaikan untuk membantu individu adalah lebih berkesan berbanding tiada bantuan langsung. Walau bagaimanapun, menyesuaikan bahan-bahan ini sering melibatkan lebih banyak kontak dengan pasukan penyelidikan, dan apabila kami bandingkan bantuan mandiri yang disesuaikan dengan bantuan mandiri biasa yang melibatkan jumlah kontak yang sama, kami tidak menemui perbezaan dalam kadar berhenti merokok.

Kajian-kajian yang kami dapati meneliti bantuan mandiri yang diberi kepada orang di negara berpendapatan tinggi, di mana terdapat lebih sokongan intensif. Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk mengetahui bagaimana bantuan mandiri berkesan untuk orang di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana, di mana kurang sokongan intensif.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information