Kesan-kesan kafein terhadap pesakit-pesakit asma

Kafein sentiasa dapat dijumpai dalam minumum seperti kopi, teh, minuman kola dan kokoa. Kafein merupakan sejenis ubat yang hampir sama dengan teofilin. Teofilin ialah sejenis ubat bronchodilator yang digunakan bagi membuka saluran pernafasan dalam paru-paru untuk melegakan gejala-gejala penyakit asma seperti nafas yang berdehit, batuk dan sesak nafas. Para saintis amat berminat dalam membuat kajian sama ada kafein mempunyai kesan yang sama terhadap paru-paru seperti teofilin.

Terdapat dua sebab utama mengapa kita perlu tahu sama ada kafein juga memiliki kesan sebagai bronchodilator. Yang pertama, ini boleh memberi manfaat kepada pesakit-pesakit asma yang mengambil kafein bagi melegakan tanda-tanda gejala asma. Yang kedua, pengambilan kafein mungkin boleh menjejaskan keputusan ujian-ujian yang menentukan status asma seseorang.

Jika kafein memiliki kesan seperti bronchodilator dan membuka saluran pernafasan seseorang, maka pesakit yang mengambil kafein sebelum menjalani ujian tertentu akan menunjukkan keputusan yang lebih baik dalam ujian fungsi paru-paru berbanding dengan masa mereka tidak mengambil kafein. Masalah yang mungkin berlaku ialah, apabila keputusan ujian lebih baik daripada jangkaan, doktor mungkin akan menetapkan dos yang lebih rendah atau ubat yang lebih lemah daripada yang benar-benar diperlukan. Ini boleh menjejaskan pengurusan penyakit asma.

Ulasan ini secara telitinya memeriksa kesemua uji kaji yang berkualiti tinggi tentang kafein dalam penyakit asma. Ulasan ini bertujuan untuk menentukan sama ada masyarakat perlu mengelakkan kafein sebelum menjalani ujian fungsi paru-paru.

Ulasan ini mendapati bahawa walaupun sedikit, kafein dapat meningkatkan fungsi paru-paru sehingga empat jam. Oleh itu, kafein boleh menjejaskan keputusan ujian fungsi paru-paru (contohnya ujian spirometri). Ianya perlu dielakkan sebelum menjalani ujian fungsi paru-paru jika boleh. Pengambilan kafein sebelum ujian fungsi paru-paru hendaklah direkodkan.

Masih tidak pasti sama ada pengambilan kafein memberi kesan penambahbaikan gejala-gejala asma. Ianya mungkin bahawa bagi melegakan gejala asma, kafein diperlukan dalam jumlah besar di mana kesan-kesan buruknya akan menjadi masalah. Oleh sebab itu lebih banyak penyelidikan diperlukan.

Satu ujikaji yang lain melihat kepada kesan-kesan kafein kepada tahap pengembusan nitrik osida (exhaled nitric oxide levels) dan mendapati bahawa tiada kesan yang penting. Oleh itu ianya menunjukkan bahawa pesakit-pesakit tidak perlu mengelakkan kafein sebelum menjalani ujian ini. Walaubagaimanapun, ini merupakan keputusan satu ujikaji sahaja. Oleh itu, lebih banyak kajian amat diperlukan dalam membuktikan perkara ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Yap Kar Suan, Melaka Manipal Medical College. Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi dk_520_emily@hotmail.com. Disunting oleh Teguh Haryo Sasongko, Universiti Sains Malaysia.

Tools
Information