Intervensi psikososial untuk menyokong wanita berhenti merokok semasa kehamilan

Apakah isunya?

Merokok tembakau semasa mengandung meningkatkan risiko ibu mengalami komplikasi sepanjang kehamilan dan bayi lahir dengan berat badan yang rendah. Nikotin dan kandungan lain di dalam rokok boleh mempunyai kesan yang berbahaya terhadap pertumbuhan dan perkembangan bayi.

Mengapa ini penting?

Bilangan wanita yang merokok semasa kehamilan adalah berkurangan di negara-negara berpendapatan tinggi, di mana ia dikaitkan dengan kemiskinan, tetapi semakin meningkat di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana. Intevensi bukan-farmakologi yang menangani faktor mental, emosi atau sosial dikenali sebagai intervensi psikososial. Kami ingin mengenal pasti bukti mengenai keberkesanan pelbagai intervensi psikososial untuk menyokong wanita hamil berhenti merokok.

Apakah bukti yang kami temui?

Ulasan ini merangkumi 102 ujian terkawal rawak dengan 120 kumpulan intervensi (kajian) dan data daripada 88 ujian terkawal rawak (melibatkan lebih daripada 28,000 wanita). Strategi intervensi utama dikategorikan sebagai kaunseling (n = 54), pendidikan kesihatan (n = 12), maklum balas (n = 6), insentif (n = 13), sokongan sosial (n = 7) dan senaman (n = 1).

Ulasan kami memberikan bukti kualiti pada tahap sederhana ke tahap tinggi yang intervensi psikososial meningkatkan perkadaran wanita yang telah berhenti merokok semasa fasa akhir kehamilan (sebanyak 35%) dan purata berat lahir bayi (sebanyak 56 g), dan mengurangkan bilangan bayi yang dilahirkan dengan berat badan yang rendah (sebanyak 17%) dan kemasukan ke penjagaan rapi neonatal sejurus selepas kelahiran (sebanyak 22%). Intervensi psikososial didapati tidak mendatangkan sebarang kesan buruk. Bagi sesetengah penemuan, terdapat perbezaan yang tidak dapat dijelaskan antara kajian, dan beberapa kajian adalah kecil, maka mengurangkan keyakinan kami akan dapatan kajian-kajian ini. Hampir semua kajian tersebut dijalankan di negara-negara berpendapatan tinggi.

Intervensi kaunseling mempunyai kesan yang jelas terhadap berhenti merokok berbanding dengan menyediakan penjagaan biasa (daripada 30 kajian), dan kesan yang lebih kecil jika dibandingkan dengan intervensi kurang intensif (18 kajian). Tiada kesan yang jelas dilihat dengan kaunseling yang disediakan sebagai satu komponen dari intervensi yang lebih luas untuk meningkatkan kesihatan ibu atau membandingkan satu jenis kaunseling dengan yang lain. Intervensi yang memberikan maklum balas mempunyai kesan yang jelas apabila dibandingkan dengan penjagaan biasa dan apabila digabungkan dengan strategi lain seperti kaunseling (dua kajian), tetapi tidak apabila dibandingkan dengan intervensi yang kurang intensif (tiga kajian). Intervensi berdasarkan insentif kewangan mempunyai kesan yang jelas apabila dibandingkan dengan alternatif seperti intervensi insentif bukan kontinjen (empat kajian).

Pendidikan kesihatan adalah tidak jelas kesannya apabila dibandingkan dengan penjagaan biasa (lima kajian), atau apabila ia adalah satu komponen dari intervensi kesihatan ibu yang lebih luas. Intervensi sokongan sosial adalah tidak jelas kesannya apabila diberikan oleh rakan sebaya (enam kajian) atau dalam satu ujian tunggal di mana sokongan yang diberikan oleh pasangan; atau apabila sokongan sosial untuk berhenti merokok diberikan sebagai sebahagian dari intervensi yang lebih luas untuk meningkatkan kesihatan ibu. Dalam kajian-kajian tunggal, senaman dan penyebaran kaunseling tidak mempunyai kesan yang jelas berbanding dengan penjagaan biasa.

Kesan yang dikumpulkan adalah sama bagi intervensi yang diberikan kepada wanita yang miskin. Kesan yang jelas juga dilihat dengan intervensi dalam kalangan wanita dari kumpulan etnik minoriti, tetapi tidak dalam kalangan wanita pribumi (empat kajian). Keputusan yang dikumpulkan menunjukkan bahawa intervensi semasa kehamilan juga boleh mengurangkan berhenti merokok selepas kelahiran. Kesan ke atas kelahiran pramatang (19 kajian) dan kelahiran mati (lapan kajian) adalah tidak jelas.

Apakah maksudnya?

Kaunseling, maklum balas dan insentif kewangan didapati mengurangkan jumlah wanita merokok dalam fasa akhir kehamilan, bagaimanapun intervensi dan konteks intervensi perlu dipertimbangkan dengan teliti. Kesan pendidikan kesihatan dan sokongan sosial adalah kurang jelas. Kebanyakan kajian telah dijalankan di negara-negara berpendapatan tinggi, menjadikannya sukar untuk menilai sama ada penemuannya boleh disamakan dalam konteks yang lain. Sokongan padu yang diterima wanita dalam kedua-dua intervensi dan kumpulan perbandingan telah meningkat dari semasa ke semasa. Banyak kajian tidak memberikan maklumat mengenai bilangan wanita individu yang layak untuk mengambil bahagian atau dihubungi untuk mengambil bahagian dalam kajian tersebut, yang akan memberikan maklumat yang berguna mengenai penerimaan umum intervensi dan pemilihan bias dalam kajian. Masa penilaian akhir status merokok sepanjang kehamilan juga berbeza antara kajian-kajian tersebut. Kajian-kajian baharu yang telah diterbitkan semasa penyediaan ulasan ini akan dimasukkan dalam kemas kini yang akan datang.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information