Methotrexate untuk merawat arthritis rheumatoid

Kami melihat kajian sehingga November 2013 mengenai kesan menerima methotrexate sahaja berbanding plasebo (tiada rawatan) selama 12 hingga 52 minggu dalam 732 orang dengan arthritis rheumatoid.

Penemuan utama

Dalam rawatan jangka pendek orang dengan arthritis rheumatoid, methotrexate:

- memperbaiki kesakitan, fungsi dan gejala lain;

- mungkin mengurangkan kerosakan sendi seperti yang dilihat pada x-ray.

Maklumat tepat tentang kesan sampingan dan komplikasi tidak selalu tersedia. Kesan sampingan biasa mungkin termasuk loya, muntah, cirit-birit, hilang selera makan, sakit perut, dan luka pada bibir, mulut atau tekak. Komplikasi yang jarang berlaku mungkin termasuk kecacatan kelahiran, masalah buah pinggang, paru-paru dan hati.

Apakah arthritis rheumatoid dan apakah methotrexate?

Apabila anda menghidap rheumatoid arthritis, sistem imun anda, yang biasanya melawan jangkitan, menyerang lapisan sendi anda menjadikan sendi anda bengkak, kaku dan sakit.
Rawatan bertujuan untuk mengurangkan gejala dan meningkatkan keupayaan anda untuk bergerak.

Methotrexate adalah salah satu daripada kumpulan ubat yang dipanggil ubat antirheumatik pengubahsuai penyakit (DMARDs) dan ia adalah rawatan yang paling biasa untuk arthritis rheumatoid. Methotrexate membantu mencegah kerosakan kekal selanjutnya yang boleh berlaku jika arthritis rheumatoid tidak dirawat.

Apakah yang berlaku kepada penghidap rheumatoid arthritis yang mengambil methotrexate sahaja?

ACR 50 (bilangan sendi yang sakit atau bengkak dan hasil lain seperti sakit dan hilang upaya)
- lebih 15 orang daripada 100 mengalami penambahbaikan besar dalam gejala arthritis rheumatoid mereka selepas 12 bulan dengan methotrexate jika dibandingkan dengan plasebo (15% peningkatan mutlak).
- 23 orang daripada 100 yang mengambil methotrexate sahaja mengalami penambahbaikan yang besar.
- 8 orang daripada 100 yang mengambil plasebo mengalami penambahbaikan besar.

Remisi atau ketiadaan penyakit aktif

Pada orang yang mengambil sama ada plasebo atau methotrexate, tiada seorang pun yang mengalami ketiadaan penyakit aktif.

Kehilangan upaya (skor lebih rendah bermakna kurang kehilangan upaya)

- Orang yang mengambil methotrexate menilai ketidakupayaan mereka sebagai 0.27 mata lebih rendah pada skala 0 hingga 3 selepas 3 hingga 12 bulan dengan methotrexate jika dibandingkan dengan plasebo (9% peningkatan mutlak).
- Orang yang mengambil methotrexate menilai ketidakupayaan mereka antara 0.39 dan 1.04.
- Orang yang mengambil plasebo menilai ketidakupayaan mereka antara 0.53 dan 1.34.

Kualiti hidup - komponen fizikal (keupayaan melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 20% lebih baik)

- lebih 12 orang daripada 100 merasakan keupayaan mereka untuk melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 20% lebih baik selepas 12 bulan dengan methotrexate sahaja berbanding plasebo (12% peningkatan mutlak).
- 39 orang daripada 100 yang mengambil methotrexate sahaja merasakan keupayaan mereka untuk melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 20% lebih baik.
- 27 orang daripada 100 yang mengambil plasebo merasakan keupayaan mereka untuk melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 20% lebih baik.

Kualiti hidup - komponen mental

- lebih 5 orang daripada 100 merasakan kesejahteraan mental mereka lebih baik selepas 12 bulan dengan methotrexate sahaja berbanding plasebo (5% peningkatan mutlak).
- 26 orang daripada 100 yang mengambil methotrexate sahaja merasakan kesejahteraan mental mereka lebih baik.
- 21 orang daripada 100 yang mengambil plasebo merasakan kesejahteraan mental mereka lebih baik.

X-ray sendi
- lebih 8 orang daripada 100 mengalami kurang kerosakan x-ray pada sendi diukur dengan peningkatan skor hakisan lebih daripada 3 unit pada skala antara 0 hingga 448 pada orang yang mengambil methotrexate berbanding plasebo selepas 12 bulan (pengurangan mutlak 8% ).
- 4 orang daripada 100 yang mengambil methotrexate sahaja telah mengalami peningkatan kerosakan pada sendi yang diukur dengan x-ray.
-12 orang daripada 100 yang mengambil plasebo mengalami peningkatan kerosakan pada sendi yang diukur dengan x-ray.

Pemberhentian akibat kejadian buruk (kesan sampingan dan komplikasi)
- lebih 9 orang daripada 100 dihentikan methotrexate kerana kejadian buruk selepas 3 hingga 12 bulan berbanding plasebo (9% penarikan diri mutlak).
- 16 orang daripada 100 yang mengambil methotrexate sahaja telah menghentikan methotrexate kerana kejadian buruk.
- 8 orang daripada 100 yang mengambil plasebo telah menghentikan plasebo kerana kejadian buruk.

Kejadian buruk yang serius
- lebih 1 orang daripada 100 mengalami kesan sampingan yang serius selepas 3 hingga 12 bulan dengan methotrexate sahaja berbanding plasebo (1% kemudaratan mutlak).
- 3 orang daripada 100 yang mengambil methotrexate sahaja mengalami kesan sampingan yang serius.
- 2 orang daripada 100 yang mengambil plasebo mengalami kesan sampingan yang serius.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi cochrane@rcsi.edu.my

Tools
Information