Pengurangan dan/atau pemberhentian antipsikotik sebagai rawatan spesifik untuk diskinesia tardif

Soalan ulasan

Untuk menentukan sama ada berhenti atau mengurangkan ubat-ubatan antipsikotik membantu dalam pengurangan diskinesia tardif untuk orang dengan skizofrenia. Untuk memeriksa sama ada ubat antipsikotik khusus boleh menjadi rawatan untuk diskinesia tardif.

Latar belakang

Orang dengan skizofrenia sering mendengar suara dan melihat sesuatu (halusinasi) dan mempunyai kepercayaan aneh (delusi). Rawatan utama untuk skizofrenia adalah ubat antipsikotik. Walau bagaimanapun, ubat-ubatan ini boleh memberi kesan sampingan yang melemahkan. Diskinesia tardif adalah pergerakan luar kawalan yang menyebabkan muka, mulut, lidah dan rahang menggigil-gigil, kejang dan berkerut. Ia disebabkan oleh penggunaan jangka panjang atau dos ubat antipsikotik yang tinggi, sukar dirawat dan tidak dapat disembuhkan. Pelbagai strategi telah dicadangkan untuk mengurangkan pendedahan seseorang kepada ubat antipsikotik. Ini termasuklah merendahkan dos ubat, ‘cuti ubat’ berjeda, dan berhenti mengambil ubat antipsikotik sama sekali.

Ciri-ciri kajian

Ulasan itu memasukkan 13 kajian dengan sejumlah 711 orang dengan skizofrenia dan diagnosis psikiatri lain.

Keputusan utama

Oleh kerana kualiti teruk, saiz kecil kajian, dan data yang terhad dari 13 kajian, bukti adalah terhad. Tidak diketahui sama ada strategi seperti pengurangan dos, 'cuti ubat', dan berhenti ubat membantu dalam merawat diskinesia tardif. Terdapat bukti terhad pada ubat-ubatan antipsikotik khusus dalam rawatan diskinesia tardif.

Kualiti bukti

Bukti adalah teruk, berskala kecil, dan berjangka pendek. Terdapat keperluan untuk kajian yang lebih besar untuk tempoh yang lebih lama bagi menyiasat penuh bidang ini.

Ringkasan bahasa biasa ini disesuaikan oleh para penulis ulasan daripada ringkasan yang ditulis oleh Ben Gray, Pegawai Penyelidik Kanan, Yayasan McPin (http://mcpin.org/).

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save