Perkhidmatan untuk mengurangkan tempoh penjagaan di hospital dalam kalangan pesakit strok akut.

Soalan ulasan

Kami berhasrat untuk menentukan jika perkhidmatan sokongan discaj awal (ESD) boleh menghasilkan pemulihan pesakit yang lebih baik dan boleh diterima dan berpatutan sepertimana perkhidmatan biasa.

Latar belakang

Perkhidmatan yang cuba menawarkan pesakit strok discaj awal dari hospital dengan penyediaan rehabilitasi dalam komuniti diistilahkan sebagai perkhidmatan sokongan discaj awal (ESD). Perkhidmatan ESD sering disediakan oleh pasukan multidisiplin seperti ahli terapi, jururawat dan doktor yang bertugas secara selaras melalui mesyuarat yang teratur. Perkhidmatan sedemikian membolehkan pesakit pulang ke rumah dari hospital lebih awal dari biasa dan menerima rehabilitasi di dalam suasana biasa di rumah mereka.

Ciri kajian

Kami mengenal pasti 17 kajian klinikal melibatkan 2422 pesakit strok (carian dikenalpasti sehingga Januari 2017) Pesakit yang terlibat mempunyai tahap ketakupayaan sederhana (boleh berjalan dengan bantuan) dan cukup sihat untuk dibenarkan pulang. Kami mengkategorikan perkhidmatan berdasarkan pasukan multidisiplin ESD (dengan pelbagai tahap penyelarasan dan penyampaian) dan perkhidmatan yang tiada penyelarasan pasukan multidisiplin (tiada pasukan ESD).

Keputusan utama

Tempoh mendiami di hospital pada kemasukan wad kali pertama telah dapat diturunkan sebanyak lebih kurang lima hari untuk kumpulan ESD. Dalam masa purata enam bulan selepas strok, pesakit ESD lebih ramai berada di rumah (tambahan 5 pesakit tinggal di rumah dari setiap 100 pesakit yang menerima perkhidmatan ESD; kualiti bukti sederhana). Mereka juga lebih cenderung berdikari dalam aktiviti harian (tambahan 6 dapat berdikari dari setiap 100 pesakit yang menerima ESD: bukti kualiti sederhana). Kami mengenal pasti tiada bahaya ketara dari segi mood atau kualiti hidup pesakit; mood atau kualiti hidup penjaga, atau risiko kemasukan semula pesakit ke hospital. Pengurangan paling ketara dari segi ketakupayaan dapat dilihat dalam kajian berdasarkan pasukan ESD yang diselaraskan. Apabila dibandingkan dengan penjagaan biasa, kos perkhidmatan ESD berada dalam julat pengurangan hingga ke peningkatan yang sederhana.

Kualiti bukti

Kualiti bukti diturunkan kepada sederhana untuk hasil utama kematian, discaj ke rumah atau ketakupayaan. Ini kerana adalah mustahil untuk merahsiakan jenis perkhidmatan rawatan daripada pesakit atau kakitangan kesihatan. Rumusan ini tidak bergantung kepada kajian yang telah dinilai sebagai berkualiti rendah akibat reka bentuk yang tidak bagus atau data yang tidak lengkap. Terdapat lebih banyak maklumat yang tidak lengkap tentang ukuran hasil yang lain, dimana telah kami turunkan kepada bukti berkualiti rendh.

Rumusan

Perkhidmatan ESD yang berpatutan beserta input daripada pasukan multidisiplin yang selaras dapat mengurangkan ketakupayaan dan tempoh mendiami di hospital; sekuranng-kurangnya kepada kumpulan pesakit strok yang terpilih. Keputusan adalah kurang jelas untuk perkhidmatan yang tidak berdasarkan input pasukan multidisiplin yang selaras. Kami mendapati tiada sebarang kesan buruk yang ketara.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Azlan Husin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information