Penambahan protein kepada susu ibu untuk menggalakkan tumbesaran bayi pramatang

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti untuk menentukan sama ada penambahan protein kepada susu ibu berbanding tiada penambahan protein, yang diberikan kepada bayi pramatang, meningkatkan tumbesaran, lemak badan, obesiti, masalah jantung, gula tinggi dalam darah, dan perkembangan otak, tanpa kesan sampingan yang ketara.

Latar belakang

Kekurangan pengambilan protein yang mencukupi pada peringkat awal kehidupan bayi pramatang boleh menjejaskan tumbesaran dan perkembangan. Bayi pramatang memerlukan protein yang lebih tinggi berbanding bayi yang dilahirkan cukup bulan. Susu ibu mempunyai banyak faedah untuk bayi pramatang (sebelum 37 minggu), tetapi kandungan proteinnya berubah-ubah, dan mungkin tidak dapat memenuhi keperluan pemakanan bayi pramatang yang berkembang pesat. Oleh itu, untuk memenuhi keperluan protein mereka yang lebih tinggi, dan untuk meningkatkan kesihatan dan perkembangan jangka panjang yang optimum, protein tambahan, dalam bentuk serbuk, boleh ditambahkan ke dalam susu ibu yang untuk bayi pramatang.

Ciri-ciri kajian

Kami menjumpai enam kajian terkawal rawak (kajian di mana setiap bayi mempunyai peluang yang sama untuk menerima mana-mana rawatan), melibatkan 204 bayi pramatang. Carian adalah terkini sehingga Ogos 2019.

Keputusan utama

Bukti berkualiti rendah menunjukkan bahawa penambahan protein ke susu ibu meningkatkan kadar kenaikan berat badan jangka masa pendek (lima kajian), penambahan kepanjangan (empat kajian), dan pertumbuhan kepala (empat kajian). Bukti berkualiti rendah dari satu kajian tidak menunjukkan perbezaan yang jelas dalam kadar pertumbuhan ketebalan lipatan kulit (ukuran lemak di bawah kulit) antara kumpulan yang menerima protein tambahan dan kumpulan yang tidak menerima protein tambahan. Bukti berkualiti sangat rendah dari satu kajian melaporkan bahawa bayi yang menerima protein tambahan tinggal di hospital lebih lama, sementara bukti berkualiti rsangat endah dari empat kajian melihat kepekatan nitrogen urea dalam yang lebih tinggi (ukuran fungsi buah pinggang dan penguraian protein) dalam bayi-bayi ini, berbanding dengan mereka yang tidak menerima protein tambahan. Bukti berkualiti rsangat endah dari satu kajian menunjukkan bahawa penambahan protein ke susu ibu secara tidak jelas meningkatkan risiko enterokolitis nekrotik (radang usus) atau tidak toleransi makan, atau dengan jelas mengubah kepekatan serum albumin (satu ukuran tahap protein dalam darah) . Tiada data yang tersedia mengenai kesan penambahan protein kepada susu ibu untuk pertumbuhan jangka masa panjang, lemak dalam badan, gula tinggi dalam darah atau perkembangan otak.

Kesimpulan

Penambahan protein ke susu ibu untuk bayi pramatang mungkin boleh meningkatkan pertumbuhan jangka masa pendek. Walau bagaimanapun, kesannya terhadap tempoh tinggal di hospital, tidak toleransi makan, dan enterocolitis nekrotik (radang usus) adalah tidak pasti, kerana keterbatasan data dan bukti berkualiti sangat rendah. Tidak ada data mengenai kesan kemudian terhadap kesihatan dan perkembangan, atau kesan dalam tetapan sumber yang rendah.

Oleh sebab penambahan protein kepada susu ibu kini biasanya dilakukan sebagai komponen penguat multi-nutrien, kajian masa depan patut membandingkan jumlah protein yang berlainan dalam penguat multi-komponen, dan dirangka untuk menentukan kesannya terhadap tempoh tinggal di hospital, keselamatan, pertumbuhan jangka masa panjang, lemak dalam badan, obesiti, gula tinggi dalam darah, dan perkembangan otak.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nur Maziah Hanum Binti Osman (Universiti Putra Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save