Adakah ubat anti-keradangan bukan steroid selamat dan berkesan untuk merawat pendarahan haid yang teruk?

Soalan ulasan

Penulis Cochrane menyiasat sama ada ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDs) membantu mengurangkan pendarahan haid teruk (HMB) pada wanita sebelum mereka mencapai menopaus.

Latar belakang

NSAID mengurangkan tahap prostaglandin, yang meningkat dalam kalangan wanita dengan pendarahan haid yang berlebihan. Dicadangkan bahawa mereka mungkin membantu dalam keadaan pendarahan yang teruk dan mungkin mempunyai kesan yang berfaedah ke atas haid yang menyakitkan.

Ciri-ciri Kajian

Penulis mencari pangkalan data perubatan dan mengenal pasti 19 kajian rawak terkawal (RCTs; kajian klinikal dengan orang secara rawak dimasukkan ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) dengan 759 wanita yang boleh dimasukkan dalam ulasan, tetapi data daripada hanya sembilan kajian yang sesuai untuk dianalisis.

Keputusan utama

Wanita mencari bantuan untuk HMB apabila ia menjejaskan kualiti hidup mereka. Tahap prostaglandin (hormon yang dihasilkan secara semulajadi) lebih tinggi pada wanita dengan HMB dan dikurangkan oleh NSAIDs. Ulasn kajian mendapati bahawa NSAIDs berkesan secara sederhana dalam mengurangkan HMB, tetapi ubat-ubatan lain, seperti danazol, asid tranexamic dan sistem intrauterine pelepasan levonorgestrel (LNG IUS), lebih berkesan. Hasil ini berdasarkan pada sejumlah kecil kajian yang berkualiti rendah hingga sederhana.

Kualiti bukti

Kualiti bukti berjulat daripada rendah hingga sederhana, limitasi utama adalah pelaporan yang tidak memuaskan berkaitan kaedah kajian dan ketidaktepatan yang dihasilkan daripada bilangan kajian sedikit.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Woh Chee Peng (International Medical University). Dikemaskini oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com

Tools
Information