Antibiotik untuk rawatan vaginosis bakteria semasa kehamilan

Bakteria secara normalnya terdapat dalam saluran kelahiran dan berguna untuk mengekalkan kesihatan faraj. Bagaimanapun, jika bilangan sesetengah bakteria meningkat, ianya dipanggil vaginosis bakteria. Bagi sesetengah wanita, tidak terdapat simtom tetapi untuk yang lain ia mungkin menyebabkan lelehan yang tidak disenangi dan mungkin menyebabkan sesetengah bayi dilahirkan terlalu awal. Bayi-bayi ini boleh menderita daripada kedua-dua masalah berkaitan dengan pramatang dalam minggu-minggu selepas kelahiran seperti kesukaran pernafasan, jangkitan dan pendarahan dalam otak serta masalah-masalah semasa pembesaran seperti pembesaran yang tidak baik, penyakit paru-paru kronik dan pembesaran lambat.

Ulasan melihat samada penggunaan antibiotik dalam wanita yang mempunyai vaginosis bakteria mengurangkan simtom untuk wanita dan mengurangkan insiden bayi dilahirkan terlalu awal.  Kami mengenalpasti 21 kajian, yang melibatkan 7847 wanita.  Kami mendapati antibiotik yang diberikan kepada wanita hamil mengurangkan tumbuhan bakteria yang berlebihan, tetapi tidak mengurangkan bilangan bayi yang dilahirkan terlalu awal. Terdapat kesan sampingan yang tidak diingini yang mencukupi untuk menghentikan rawatan atau menukar rawatan di mana antibiotik telah digunakan dan perkara ini memerlukan penyiasatan lanjut. Kesan saringan dan rawatan wanita yang mempunyai flora yang tidak normal perlu dikaji dalam kajian seterusnya dan kesan-kesan saringan dan rawatan jangkitan faraj yang telah disahkan merupakan subjek ulasan Cochrane yang lain.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information