Anthelmintics untuk pengidap neurosistiserkosis

Apakah tujuan ulasan ini?

Tujuan ulasan ini adalah untuk menyiasat jika rawatan dengan anthelmintics (ubat yang membunuh cacing) dapat memanfaatkan pengidap neurosistiserkosis (jangkitan otak yang disebabkan oleh cacing pita babi). Hasil utama ulasan ini ialah kesan rawatan terhadap sawan (epilepsi). Kami mengumpul dan menganalisis semua kajian (percubaan) yang relevan untuk menjawab soalan ini, dan menemui 16 kajian. Hasil keputusan yang paling kerap dilaporkan ialah hasil yang berkaitan dengan sawan dan juga jumlah dan rupa bentuk lesi yang disebabkan oleh sista (cacing dorman) yang aktif atau dimusnahkan dalam imbasan otak.

Mesej-mesej utama

Kami mendapati bahawa anthelmintik albendazole mungkin mengurangkan pengulangan sawan dalam kalangan pengidap neurosistiserkosis dengan satu sista (bukti kepastian sederhana). Kami tidak pasti sama ada albendazole mengurangkan sawan berulang dalam orang yang menghidapi neurosistiserkosis dengan lebih daripada satu sista (bukti kepastian yang sangat rendah). Kami menemui sedikit maklumat mengenai ubat anthelmintik yang lain, praziquantel; oleh itu hasil kajian ini hanya boleh digunakan untuk albendazole. Rawatan Albendazole mungkin juga meningkatkan kehilangan dan evolusi sista dalam orang yand menghidapi neurocysticercosis (bukti kepastian sederhana). Evolusi sista adalah progresi ke tahap sista kemudian, yang dianggap sebagai penambahbaikan ke arah kehilangannya.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?

Neurosistiserkosis adalah jangkitan otak oleh cacing pita babi Taenia solium, yang disebabkan oleh pengambilan makanan atau minuman yang tercemar dengan telur cacing. Telur boleh berhijrah dari usus ke otak, dan membentuk sista di otak yang boleh menyebabkan pelbagai gejala, di mana yang paling lazim adalah sawan/epilepsi. Neurosistiserkosis dijumpai terutamanya di kawasan orang memelihara babi dan mempunyai kemudahan sanitasi yang buruk, dan ianya juga penyebab lazim bagi sawan di kawasan di mana ia lazimnya terjadi.

Orang yang menghidapi neurosistiserkosis mungkin mempunyai sista tunggal atau berganda, dan gejala yang dialami bergantung pada kedudukan dan bilangan sista ini di dalam otak. Setiap sista melalui proses semula jadi hidup dan dorman (berdaya maju), musnah (tidak berdaya maju), dan kemudian selesai atau kalsifikasi. Proses ini boleh mengambil masa bertahun-tahun lamanya. Bilangan, jenis, dan kedudukan sista dapat dilihat dalam imbasan otak (lesi).

Dua anthelmintics (ubat untuk merawat jangkitan cacing), albendazole dan praziquantel, sering digunakan untuk mengubati neurosistiserkosis. Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada kedua-dua ubat tersebut mengurangkan atau menghentikan sawan dan gejala lain, ataupun menjadikannya lebih teruk. Secara teori, tindak balas imun tubuh terhadap kematian sista akibat rawatan boleh menyebabkan lebih banyak pembengkakan dan kerosakan otak.

Apakah keputusan utama kajian ini?

Kami menyertakan 16 kajian dalam ulasan ini. Kajian-kajian ini membandingkan rawatan anthelmintic dengan plasebo (tablet/pil tiruan yang menyerupai anthelmintic) atau tidak ada rawatan anthelmintik pada orang dewasa atau kanak-kanak yang mengidap neurocysticercosis yang didiagnosis oleh imbasan otak.

Untuk orang yang menghadapi sista tunggal, rawatan dengan albendazole mungkin mengurangkan sawan berulang (bukti kepastian sederhana). Yang ketara, semua kajian yang menyumbang kepada analisis ini hanya merangkumi orang dengan sista yang tidak berdaya maju. Bagi orang yang mempunyai beberapa sista, buktinya sangat rendah, oleh itu kami tidak pasti sama ada albendazole mengurangkan sawan bagi kumpulan pesakit ini atau tidak. Kajian-kajian yang menyumbangkan kepada penemuan ini merangkumi peserta yang mempunyai kedua-dua sista yang berdaya maju dan tidak berdaya maju. Kami menemui sangat sedikit maklumat mengenai ubat anthelmintik yang lain, praziquantel; oleh itu keputusan ini hanya boleh digunakan untuk albendazole.

Rawatan dengan albendazole mungkin meningkatkan pelepasan lengkap lesi dalam imbasan otak dan juga evolusi sista (dari berdaya maju ke tidak-berdaya maju hingga diselesaikan atau dikalsifikasi) (bukti kepastian sederhana). Kajian yang menyumbang kepada bukti ini merangkumi orang dengan sista tunggal dan berganda, kedua-duanya berdaya maju dan tidak berdaya maju.

Lebih banyak kesan sampingan dilaporkan oleh peserta yang dirawat dengan albendazole atau praziquantel berbanding dengan mereka yang menerima plasebo atau tidak menerima anthelmintik. Kesan sampingan yang paling kerap dilaporkan ialah sakit kepala, sakit perut, dan loya /muntah.

Setakat mana ulasan ini dikemaskini?

Kami telah mencari kajian yang mempunyai penerbitan sehingga 21 Oktober 2020.

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.: 

Diterjemahkan oleh Melvin Chuin Shen Hoo (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information