Ubat kolinergik untuk diskinesia tardif cetusan antipsikotik

Soalan ulasan.

Adakah ubat kolinergik berguna untuk merawat kesan sampingan yang tidak menyenangkan - diskinesia tardif - dalam kalangan orang dengan skizofrenia atau masalah kesihatan mental serupa yang mengambil antipsikotik.

Latar belakang.

Orang dengan skizofrenia sering mendengar suara dan melihat sesuatu (halusinasi) dan mempunyai kepercayaan aneh (delusi). Gejala-gejala ini biasanya dirawat dengan ubat antipsikotik. Walau bagaimanapun, ubat-ubatan ini mempunyai kesan sampingan yang melemahkan. Diskinesia tardif adalah pergerakan luar kawalan yang menyebabkan muka, mulut, lidah dan rahang menggigil-gigil, kejang dan berkerut. Ia disebabkan oleh dos ubat antipsikotik yang tinggi atau jangka panjang, sukar dirawat dan tidak dapat disembuhkan. Adalah dicadangkan bahawa diskinesia tardif boleh disebabkan oleh kekurangan kolinergik. Ubat kolinergik yang lebih lama, seperti deanol, lesitin dan meclofenoxate, telah diguna untuk merawat diskinesia tardif. Ubat kolinergik baru, seperti donepezil, galantamine dan rivastigmine, telah dihasilkan untuk rawatan penyakit Alzheimer dan mungkin juga sebagai rawatan yang berpotensi untuk diskinesia tardif.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari kajian pada Julai 2015 dan April 2017, menggunakan daftar kajian Kumpulan Skizofrenia Cochrane. Ulasan ini merangkumi 14 kajian yang menyiasat penggunaan ubat kolinergik berbanding plasebo. Kesemua kajian merawak bilangan kecil pesakit (lima hingga 60 orang) dengan skizofrenia atau penyakit mental kronik lain yang juga telah membentuk diskinesia tardif cetusan antipsikotik.

Keputusan utama.

Kami dapati kesan kedua-dua ubat kolinergik yang lebih lama dan baru adalah tidak jelas kerana kajian-kajian sedia ada terlalu sedikit dan terlalu kecil dan tidak menghasilkan bukti yang baik dan meninggalkan banyak soalan-soalan yang tidak terjawab.

Kualiti bukti.

Bukti sedia ada adalah lemah, terhad, dan berskala kecil. Tidak mungkin untuk mengesyorkan ubat-ubatan ini sebagai rawatan untuk diskinesia tardif berdasarkan penemuan kami. Untuk menyiasat sepenuhnya sama ada penggunaan ubat kolinergik mempunyai kesan positif untuk orang dengan diskinesia tardif, perlu ada kajian yang direka bentuk dengan baik, lebih besar, jangka masa yang lebih panjang, terutama ubat kolinergik baru yang kini digunakan untuk merawat penyakit Alzheimer.

Ben Gray, Penyelidik Kanan Setara, Yayasan McPin

http://mcpin.org/

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information