Rawatan ubat isoniazid bagi pesakit HIV dengan tuberkulosis tidak aktif mengurangkan risiko mendapat tuberkulosis aktif.

Ada pesakit yang mendapat tuberkulosis atau lebih dikenali sebagai batuk kering tidak mempunyai tanda-tanda jangkitan. Dalam istilah perubatan, ini dikenali sebagai tuberkulosis (TB) tidak aktif. Pesakit yang menghidap penyakit yang boleh mengurangkan daya ketahanan badan seperti HIV/AIDS mempunyai risiko mendapat tuberkulosis (TB) aktif. Lebih kurang 30% pesakit yang menghidap HIV dan tuberkulosis tidak aktif akhirnya mendapat tuberkulosis aktif. Ini boleh meningkatkan risiko kematian lebih awal bagi pesakit- pesakit yang menghidap HIV dan tuberkulosis (TB) aktif. Beberapa kajian yang dilakukan mendapati risiko mendapat tuberculosis aktif akan berkurangan dengan mengambil ubat isoniazid. Tempoh rawatan dengan ubat isoniazid adalah selama 6-12 bulan. Penyelidikan lanjut perlu diadakan untuk mendapat tempoh dan regim rawatan yang sesuai untuk pesakit yang menghidap HIV dan regim rawatan yang boleh digabungkan dengan ubat HIV.

Kesimpulan penulis: 

Rawatan untuk tuberkulosis tidak aktif mengurangkan risiko mendapatkan TB aktif kepada pengidap HIV terutamanya mereka yang positif ujian kulit tuberkulin. Rejim yang menjadi pilihan bergantung kepada beberapa faktor contohnya ketersediaan, kos, kesan sampingan, kepatuhan dan ketahanan ubat. Kajian pada masa depan mestilah menilai aspek-aspek ini. Sebagai tambahan, ujikaji untuk menilai kesan jangka panjang kemoprofilaksis anti-tuberkulosis, tempoh masa yang terbaik untuk terapi preventif TB, pengaruh tahap imunokompromi ke atas keberkesanan dan gabungan kemoprofilaksis anti-tuberkulosis dengan terapi antivirus adalah diperlukan.

Baca abstrak penuh ...
Latar belakang: 

Individu yang dijangkiti virus human immunodeficiency (HIV) mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat tuberkulosis aktif (TB) Sememangnya telah diketahui yang rawatan untuk jangkitan TB tidak aktif (LTBI), juga dikenali sebagai terapi preventif atau kemoprofilaksis TB, membantu mencegah penyakit ini daripada menjadi jangkitan aktif dalam populasi yang tidak mengidap HIV. Bagaimanapun, takat serta magnitud perlindungan (jika ada) yang berhubungkait dengan terapi pencegahan di kalangan pengidap HIV perlulah diukur. Ulasan sistematik ini merupakan hasil tinjauan asal yang telah dikemaskini.

Objektif: 

Untuk menentukan keberkesanan terapi pencegahan TB dalam mengurangkan risiko TB aktif dan kematian dikalangan pengidap HIV

Strategi pencarian: 

Kajian semula ini telah dikemaskini menggunakan Cochrane Controlled Trials Register (CCTR), MEDLINE, EMBASE, AIDSLINE, AIDSTRIALS, AIDSearch, NLM Gateway dan AIDSDRUGS (tarikh penerbitan dari 01 Julai 2002 hingga 04 Julai 2008) Kami juga telah mengimbas senarai rujukan artikel dan telah menghubungi pengarang serta penyelidik lain di dalam bidang ini sebagai usaha untuk mengenal pasti kajian tambahan yang layak untuk dimasukkan ke dalam ulasan sistematik ini.

Kriteria pemilihan: 

Kami memasukkan kajian klinikal rawak terkawal dimana individu pengidap HIV secara rawak diberikan terapi pencegahan TB atau plasebo, atau alternatif rejim terapi pencegahan TB. Peserta mungkin positif atau negatif untuk ujian kulit tuberkulin, tetapi bukan TB aktif.

Pengumpulan data dan analisis: 

Tiga pengarang secara berasingan menggunapakai kriteria pemilihan kajian, mengukur kualiti kajian dan mengekstrak data. Kesan-kesan diukur menggunakan risiko relatif untuk data dikotomi dan perbezaan rerata untuk data selanjar.

Keputusan utama: 

12 ujikaji telah dijalankan dengan sejumlah 8578 peserta yang dirawak. Terapi pencegahan TB (sebarang ubat anti-TB) berbanding plasebo berhubungkait dengan berkurangnya kejadian TB aktif (RR 0.68, 95% CI 0.54 to 0.85) Faedah ini lebih ketara di kalangan individu yang positif terhadap ujian kulit tuberkulin (RR 0.38, 95% CI 0.25 to 0.57) daripada mereka yang negatif terhadap ujian yang sama ( RR 0.89, 95% CI 0.64 to 1.24) Keberkesanan adalah agak serupa untuk kesemua rejim (tanpa menghiraukan jenis ubat, kekerapan serta tempoh masa rawatan) Bagaimanapun, berbanding dengan terapi tunggal INH, rejim pelbagai ubat jangka pendek mempunyai lebih kemungkinan untuk ditamatkan kerana kesan sampingan. Walaupun terdapat pengurangan kematian dalam kumpulan terapi tunggal INH berbanding plasebo di kalangan individu-individu yang positif ujian kulit tuberkulin (RR 0.74, 95% CI 0.55 to 1.00) dan dalam kumpulan INH berserta rifampicin berbanding plasebo tanpa menghiraukan status ujian kulit tuberkulin (RR 0.69, 95% CI 0.50 to 0.95), secara keseluruhannya, tidak terdapat bukti yang menunjukkan bahawa terapi pencegahan TB berbanding plasebo mengurangkan kadar kematian yang disebabkan oleh pelbagai sebab.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Ramnavinder Singh, Melaka Manipal Medical College. Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor's University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi ramnavinder89@gmail.com

Tools
Information
Share/Save