Apakah isunya?
Bayi selalunya lahir kepala terlebih dahulu. Jika bayi berada dalam posisi lain, kelahiran mungkin rumit. Dalam kelahiran songsang keadaan bayi adalah punggung ke bawah dan bukan kepala ke bawah. Bayi yang lahir punggung ke bawah lebih cenderung cedera dalam kelahiran normal (vagina), berbanding bayi yang lahir kepala dahulu. Misalnya, bayi mungkin tidak dapat cukup oksigen semasa proses kelahiran. Pembedahan caesar yang terancang boleh mengurangkan masalah ini. Kami meneliti bukti yang membandingkan pembedahan caesar terancang dan kelahiran vagina pada masa kelahiran normal.
Mengapa hal ini penting?
Walaupun pembedahan caesar boleh mengurangkan beberapa risiko bayi songsang, pembedahan tersebut juga berisiko bagi ibu dan bayi.
Apakah bukti yang kami dapati?
Kami menemui 3 kajian melibatkan 2396 wanita. (Kami sertakan kajian-kajian sehingga Mac 2015.) Kualiti kajian adalah rendah. Oleh itu, kekuatan bukti kebanyakan adalah rendah. Dalam jangka masa pendek, kelahiran melalui kaedah pembedahan caesar terancang adalah lebih selamat untuk bayi berbanding kelahiran vagina. Kurang bayi yang meninggal dunia atau cedera parah apabila dilahirkan melalui caesar. Walau bagaimanapun, bayi yang lahir melalui caesar mempunyai lebih banyak masalah kesihatan pada umur dua tahun, namun bilangannya terlalu kecil untuk dipastikan. Pembedahan caesar menyebabkan beberapa masalah jangka masa pendek bagi ibu seperti sakit abdomen. Terdapat beberapa manfaat seperti kurangnya inkontinens urinari dan kurang sakit perineum dalam satu kajian. Kajian-kajian tersebut tidak meneliti kesan kehamilan masa hadapan, apabila pembedahan caesar terdahulu mungkin menyebabkan komplikasi. Kajian hanya meneliti kelahiran tunggal (bukan kembar atau kembar tiga) dan tidak mengkaji bayi pramatang.
Apakah maksudnya?
Jika bayi anda berada dalam posisi songsang, pembedahan caesar terancang mungkin lebih selamat. Walau bagaimanapun, ada kemungkinan pembedahan caesar kurang baik untuk ibu dan boleh menyebabkan kelahiran masa hadapan kurang selamat. Kami juga belum tahu kesan kelahiran caesar terhadap kesihatan bayi apabila mereka sudah besar.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Afrina Ariff (Cochrane Malaysia, RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).