Ventilasi osilatori berfrekuensi tinggi secara elektif berbanding dengan ventilasi mekanikal konvensional dalam penstabilan awal bayi yang bermasalah pernafasan

Soalan ulasan. Adakah penggunaan ventilasi osilatori berfrekuensi tinggi secara elektif berbanding ventilasi konvensional dapat mengurangkan kecederaan paru-paru dan komplikasi lain yang berkait dengan pramatang serta bantuan ventilasi dalam kalangan bayi pramatang yang diberikan ventilasi mekanikal untuk masalah sindrom kecemasan pernafasan (RDS)?

Latar-belakang: Kegagalan pernafasan akibat paru-paru yang kurang matang merupakan punca utama kematian dikalangan bayi pramatang. Walaupun penggunaan ventilasi tekanan positif berjeda untuk merawat masalah kegagalan pernafasan dalam kalangan bayi yang baru lahir menyelamatkan nyawa, penggunaannya telah dikaitkan dengan kecederaan paru-paru dan penyakit paru-paru kronik. Satu bentuk ventilasi baru yang dikenali sebagai ventilasi osilatori berfrekuensi tinggi secara elektif dalam beberapa kajian telah dapat mengurangkan kecederaan kepada paru-paru

Ciri-ciri kajian: Sembilan belas kajian dengan penglibatan 4096 bayi telah memenuhi kriteria rangkuman kami.

Keputusan Bukti-bukti yang ada tidak mencukupi untuk menyokong penggunaan ventilasi osilatori berfrekuensi tinggi secara rutin berbanding dengan ventilasi konvensional untuk bayi pramatang yang mengalami penyakit paru-paru yang diberikan ventilasi tekanan positif. Ventilasi osilatori berfrekuensi tinggi adalah satu cara pemberian ventilasi tiruan paru-paru yang secara teorinya boleh menyebabkan kurang kecederaan kepada paru-paru dan ini mengurangkan kadar penyakit paru-paru kronik. Semakan terhadap bukti daripada 19 kajian rawak terkawal menunjukkan bahawa walaupun terdapat kesan kecil perlindungan terhadap paru-paru, manfaat yang sederhana ini sangat berubah-ubah di antara beberapa kajian dan bahaya yang mungkin berlaku perlu dipertimbangkan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Foo Sook Lee (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi fslee@pmc.edu.my. Disunting oleh Azlan Husin (Universiti Sains Malaysia)

Tools
Information
Share/Save