Antikoagulan untuk strok iskemia

Berjuta manusia seluruh dunia mendapat serangan strok setiap tahun. Kebanyakan strok terjadi apabila terdapat darah beku di dalam salur darah yang menyekat aliran darah ke otak. Tanpa bekalan darah yang secukupnya, otak mengalami kerosakan dengan cepat dan kerosakan ini boleh berkekalan. Strok boleh menyebabkan tangan atau kaki menjadi lemah, atau kesukaran pada pertuturan atau penglihatan. Strok kadang-kala boleh membawa maut, tetapi ianya kerap kali menyebabkan mereka yang terselamat hilang keupayaan melakukan perkara-perkara yang biasa dilakukan. Oleh sebab strok merupakan satu kejadian yang biasa berlaku dan menyebabkan kerosakan yang serius, para penyelidik mencari cara untuk menghilangkan darah beku secepat mungkin setelah terjadi serangan strok. Satu cara ialah dengan menggunakan ubat pencair darah yang dipanggil antikoagulan. Jika antikoagulan berjaya mencairkan darah beku tersebut, kesan buruk akibat serangan strok mungkin dapat dielakkan. Masalah utama antikoagulan ialah, ia boleh menyebabkan pendarahan yang kadang-kala boleh menjadi sangat serius. Ulasan sistematik ini telah direka untuk mengkaji sama ada pesakit yang dirawat dengan antikoagulan sebaik selepas mengalami strok beransur baik atau tidak, dan sama ada mereka mendapat pendarahan. Terdapat banyak maklumat dalam ulasan sistematik ini - 23,748 pesakit strok telah terlibat dalam 24 kajian rawak bagi menjawab persoalan ini. Mereka yang dirawat dengan antikoagulan, kadar ketidak upayaan jangka panjang mereka adalah sama dengan mereka yang tidak dirawat antikoagulan, dan mereka juga mengalami pendarahan yang lebih banyak. Pesakit yang dirawat dengan antikoagulan mempunyai peluang yang lebih rendah untuk darah beku terbentuk di dalam kaki dan paru-paru mereka berikutan kejadian strok, tetapi manfaat ini tidak memadai kerana peningkatan bilangan pendarahan. Ulasan ini tidak memberikan bukti bahawa penggunaan antikoagulan di peringkat awal memberikan manfaat secara menyeluruh kepada pesakit strok yang disebabkan oleh darah beku. Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk mengetahui samada ada terdapat untuk memilih pengidap strok yang akan mendapat manfaat daripada antikoagulan tanpa mengalami komplikasi pendarahan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi salwah@usm.my.my

Tools
Information
Share/Save