Akupunktur dan rawatan yang berkaitan untuk gejala-gejala sindrom terowong karpus

Soalan ulasan

Adakah akupunktur dan rawatan yang berkaitan memperbaiki gejala-gejala sindrom terowong karpus dalam kalangan dewasa?

Latar belakang

Sindrom terowong karpus (CTS) adalah keadaan yang mungkin menyebabkan sakit, kebas, sesemut dan lemah di tangan. Ia terjadi apabila saraf median dari lengan ke tangan termampat semasa melalui satu struktur yang dikenali sebagai terowong karpus di pergelangan tangan. Pekerjaan seseorang mungkin menjadi salah satu faktor yang menyebabkan CTS dan ia menimbulkan masalah tambahan dalam kalangan orang dengan penyakit lain seperti keradangan artritis. CTS boleh dirawat dengan senaman tangan, splin, ubat-ubat tahan sakit dan juga suntikan. CTS yang teruk boleh dirawati dengan pembedahan Orang dengan CTS kadang kala memilih akupunktur dan rawatan yang berkaitan untuk mengurus gejala-gejala CTS. Akupunktur menggunakan jarum untuk menembusi kulit dan merangsang titik-titiik akupunktur di badan. Titik-titik akupunktur berada di sepanjang meridian yang dianggap sebagai laluan tenaga badan. Rawatan yang berkaitan dengan akupunktur menggunakan pelbagai kaedah untuk merangsangkan titik-titik akupunktur. Misalnya, akupunktur laser menggunakan laser berbanding jarum.

Ciri-ciri kajian

Kami menemui 12 kajian yang menganalisis 869 orang dengan CTS. Terdapat 148 lelaki dan 579 wanita (1 kajian tidak menyatakan jantina peserta). Umur peserta adalah 18 hingga 85 tahun. Bilangan peserta dalam setiap kajian adalah di antara 26 dan 181 orang. Gejala-gejala CTS telah wujud selama beberapa bulan atau tahun. Kajian-kajian tersebut membandingkan penggunaan akupunktur jarum atau akupunktur laser dengan plasebo/rawatan palsu atau rawatan aktif seperti sekatan saraf kortikosteroid, kortikosteroid oral, ibupofen, splin malam, terapi fizikal, dan vitamin B12.

Keputusan utama dan kepastian bukti

Terdapat sedikit atau tiada bukti tentang sebarang perbezaan di antara akupunktur atau akupunktur laser dengan plasebo atau rawatan palsu untuk gejala-gejala CTS. Kami tidak pasti sama ada akupunktur dan intervensi-intervensi yang berkaitan adalah lebih berkesan atau kurang berkesan berbanding kaedah-kaedah lain untuk rawatan gejala-gejala CTS. Kajian-kajian yang ditemui adalah kecil dan mungkin bermasalah dalam kaedah perlaksanaan. Tiada banyak maklumat untuk setiap pembandingan. Kajian-kajian tersebut menemui beberapa kesan sampingan akupunktur seperti sakit dan kelebaman. Tiada kemudaratan yang serius. Walau bagaimanapun, tidak semua kajian melaporkan maklumat kesan-kesan sampingan. Kami tidak mempunyai cukup maklumat daripada kajian-kajian semasa untuk memastikan kesan-kesan akupunktur dan rawatan-rawatan yang berkaitan untuk rawatan CTS. Kami memerlukan kajian-kajian yang lebih besar dan berkualiti lebih baik untuk memahami sebarang kesan-kesan akupunktur dan intervensi-intervensi yang berkaitan ke atas gejala-gejala CTS.

Ulasan ini adalah terkini sehingga 13 November 2017 bagi pangkalan data Bahasa Inggeris dan 30 April 2018 bagi pangkalan-pangkalan data Cina dan Korea.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Zi Yan Chiah (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh NoorlizaMastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi (Chris_ZY@live.com)

Tools
Information