Adakah penghidap asma mengalami kurang kesan buruk serius semasa mengambil formoterol dan kortikosteroid yang disedut berbanding salmeterol dan kortikosteroid yang disedut?

Latar belakang

Asma adalah satu keadaan yang menjejaskan saluran pernafasan – tiub kecil yang membawa udara masuk dan keluar dari paru-paru. Apabila seorang penghidap asma menyedut udara yang mempunyai pencetus asma, saluran pernafasan mereka menjadi terengsa, dan otot-otot sekitar dinding saluran pernafasan akan mengetat, maka saluran pernafasan menjadi sempit (pengecutan bronkus) dan lapisan saluran pernafasan menjadi radang dan mula membengkak. Kadang kala, lendir melekit atau kahak terbentuk, yang boleh menyempitkan lagi saluran udara. Reaksi ini menyebabkan saluran pernafasan menjadi lebih sempit dan terengsa - menjadikannya sukar untuk bernafas, dan menyebabkan batuk, mendesah, sesak nafas, dan sesak di dada. Orang yang menghidap asma secara amnya disarankan untuk mengambil steroid yang disedut untuk melawan keradangan yang tersembunyi, tetapi jika asma masih tidak terkawal, garis panduan klinikal semasa untuk penghidap asma mengesyorkan pengambilan ubat tambahan untuk membantu. Satu strategi biasa dalam situasi ini adalah menggunakan beta-agonis yang bertindak jangka panjang: formoterol atau salmeterol. Beta-agonis yang bertindak jangka panjang adalah ubat yang disedut yang membuka saluran pernafasan (bronchodilator), menjadikannya lebih mudah untuk bernafas. Steroid yang disedut boleh ditambahkan ke dalam bronchodilator ini dalam alat sedut yang sama. Pelbagai steroid yang disedut digunakan dalam alat sedut digabungkan dengan formoterol atau salmeterol.

Kami tahu dari Ulasan Cochrane sebelumnya bahawa terdapat peningkatan kecil dalam kejadian buruk yang serius (seperti serangan asma yang sangat teruk, dan juga kejadian lain yang mengancam nyawa) apabila formoterol biasa atau salmeterol biasa diambil tanpa steroid yang disedut, tetapi peningkatan ini tidak dilihat ketika ubat ini digunakan dengan steroid yang disedut dalam satu alat sedut gabungan. Ulasan ini mencari maklumat dari kajian yang membandingkan kedua-dua rawatan (iaitu ketika orang yang mengambil salmeterol dengan kortikosteroid yang disedut dibandingkan secara langsung dengan orang yang mengambil formoterol dan kortikosteroid yang disedut) untuk melihat jika kami dapat menentukan ubat mana yang lebih selamat.

Ciri-ciri kajian

Kami menjalankan carian untuk kajian-kajian dalam Februari 2021. Secara keseluruhan, kami memasukkan dalam ulasan ini 23 kajian terkawal rawak yang membandingkan formoterol dan kortikosteroid yang disedut dengan salmeterol dan kortikosteroid yang disedut. Dua puluh satu kajian dengan 11,572 peserta melibatkan orang dewasa dan remaja. Umur minimum dalam 21 kajian ini berbeza dari 12 hingga 16 atau 18. Lapan kajian ini (7730 dewasa) membandingkan alat sedut gabungan formoterol/budesonide dengan salmeterol/fluticasone, dengan bilangan yang lebih kecil (1472, 1126, dan 1075 dewasa) membandingkan gabungan formoterol yang lain dengan salmeterol/fluticasone. Hanya 229 orang dewasa yang didapati dalam kajian membandingkan formoterol/budesonide dengan salmeterol/budesonide. Dua kajian melibatkan 723 peserta melibatkan kanak-kanak; julat umur dalam kajian ini adalah 4 hingga 12 dan 5 hingga 12; kedua-duanya membandingkan alat sedut formoterol/fluticasone dengan salmeterol/fluticasone.

Hasil utama

Tidak ada perbezaan tertentu yang dapat dikesan antara gabungan formoterol/kortikosteroid yang disedut dan salmeterol/kortikosteroid yang disedut untuk kematian semua sebab atau untuk kejadian buruk semua sebab atau berkaitan dengan asma yang tidak menyebabkan maut. Tidak ada kematian akibat asma yang dilaporkan. Kajian yang disertakan mempunyai cukup peserta untuk menilai manfaat rawatan, tetapi mereka tidak memasukkan cukup orang untuk menentukan keselamatan perbandingan rawatan ini.

Kualiti bukti

Secara umumnya, kajian yang disertakan mempunyai tahap bias yang rendah, tetapi terdapat insiden kematian dan kejadian buruk serius yang rendah, yang mengurangkan kepastian bukti untuk hasil yang berbeza. Kualiti bukti untuk kematian semua sebab dan kejadian buruk serius akibat semua sebab yang tidak menyebabkan kematian masing-masing dinilai sebagai rendah dan sederhana. Kualiti bukti untuk kejadian buruk serius yang berkaitan dengan asma bervariasi dari rendah hingga sangat rendah kerana bilangan kecil kejadian yang berkaitan dengan asma dan kurangnya penilaian bebas mengenai penyebab kejadian.

Kesimpulan

Kami tidak menemui masalah keselamatan yang akan mempengaruhi pilihan antara alat sedut gabungan salmeterol dan formoterol yang digunakan untuk terapi penyelenggaraan biasa pada orang dewasa dan kanak-kanak dengan asma.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information