Prostatektomi radikal berbanding penungguan dengan pemantauan untuk kanser prostat

Ulasan ini mengkaji bukti sedia ada yang terbaik yang membandingkan kesan kedua-dua jenis rawatan untuk kanser prostat setempat, iaitu prostatektomi radikal (RP) di mana pembedahan dibuat untuk mengeluarkan kelenjar prostat berbanding dengan kaedah "penungguan dan pemantauan". Dalam ulasan ini, WW ditakrifkan sebagai mana-mana pendekatan konservatif dalam pengurusan kanser prostat di mana keputusan dibuat untuk tidak memberikan sebarang rawatan pada tahap awal dan untuk memantau pesakit kanser prostat. Jika prosedur pemantauan mendedahkan bukti bahawa penyakit semakin teruk, maka rawatan paliatif akan ditawarkan kepada pesakit, dan rawatan ini bertujuan untuk meringankan gejala penyakit tanpa cubaan untuk menyembuhkan penyakit tersebut.

Dua kajian rawak terkawal (RCT) yang lengkap telah dikenal pasti. Satu kajian dianggap sebagai berkualiti tinggi manakala kajian kedua dianggap sebagai berkualiti rendah. Kedua-dua kajian bermula sebelum penggunaan ujian darah antigen khusus prostat (PSA) secara meluas sebagai ujian saringan untuk kanser prostat, dan oleh itu tidak melibatkan ramai penghidap kanser lelaki yang dikesan melalui PSA. Kajian yang masih berlangsung (PIVOT; ProtecT; START) akan memberikan bukti mengenai kesan perbandingan RP and protokol pemerhatian untuk lelaki dengan kanser yang dikesan melalui PSA.

Kajian berkualiti baik yang termasuk dalam ulasan ini melibatkan lelaki dengan kanser yang dikesan oleh kaedah-kaedah lain daripada saringan yang dibahagikan secara rawak ke dalam kumpulan RP atau kumpulan WW dan diikuti untuk 12 tahun. Kajian ini tidak memberi bukti yang mencukupi untuk membuat kenyataan yang yakin tentang betapa besar manfaat ataupun mudarat RP berbanding dengan WW untuk lelaki yang menghidap kanser prostat yang boleh dikesan secara klinikal. Keputusan kajian menunjukkan bahawa RP mungkin boleh mengurangkan risiko kematian keseluruhan, kematian daripada kanser prostat dan metastasis jauh (penyebaran kanser) berbanding dengan WW, tetapi betapa besar kesan ini adalah tidak jelas. Di samping itu, pengurangan risiko dinampak terhad kepada lelaki yang berumur kurang daripada 65 tahun. Kajian ini juga memberikan bukti bahawa RP meningkatkan risiko disfungsi erektil dan masalah lemah kawalan kencing. Walau bagaimanapun, disebabkan cara data mengenai kesan buruk dikumpul di dalam kajian ini, kenyataan yang yakin tidak boleh dibuat tentang kekerapan kesan-kesan buruk berlaku. Di samping itu, pembedahan simpanan-saraf (nerve-sparing), yang mempunyai potensi untuk mengurangkan komplikasi-komplikasi ini, tidak secara rutin dilakukan untuk peserta dalam kajian ini.

Satu pendekatan yang melibatkan perkongsian dalam membuat keputusan adalah diperlukan di mana pesakit dan penjaga kesihatan mereka berbincang secara terbuka tentang nilai-nilai peribadi pesakit, keutamaan pesakit dan kekurangan bukti mengenai manfaat and kemudaratan yang mungkin untuk setiap jenis rawatan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Teng Xiu Xin (Penang Medical College). Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi xiuxin_c2017@ms.pmc.edu.my

Tools
Information
Berkongsi/Menyimpan