Soalan ulasan
Adakah rawatan untuk membantu pembekuan darah mengurangkan risiko kematian dan kehilangan upaya untuk orang dewasa dengan angin ahmar disebabkan pendarahan di dalam otak?
Latar belakang
Lebih daripada satu persepuluh dari semua angin ahmar adalah disebabkan oleh pendarahan di dalam otak (dikenali sebagai pendarahan otak). Semakin besar pendarahan, semakin besar kemungkinan ia membawa maut. Kira-kira satu pertiga pendarahan otak membesar dengan signifikan dalam tempoh 24 jam pertama. Oleh itu, rawatan yang menggalakkan pembekuan darah mungkin dapat mengurangkan risiko kematian atau kehilangan upaya selepas pendarahan otak dengan mengehadkan pembesarannya, jika diberikan sejurus pendarahan bermula. Namun, ubat hemostatik mungkin menyebabkan pembekuan yang tidak diingini, yang membawa kepada kesan-kesan sampingan yang tidak diingini, seperti serangan jantung dan darah beku di dalam urat kaki.
Ciri-ciri kajian
Kami menemui 12 kajian rawak terkawal, termasuk 1732 peserta, sehingga November 2017.
Keputusan utama
Kami menemui bukti mudarat berkualiti sederhana dari transfusi platelet untuk orang yang telah menggunakan ubat antiplatelet sehingga mereka mengalami pendarahan otak. Kami tidak menemui bukti sama ada manfaat atau mudarat dari terapi hemostatik yang lain untuk orang dengan pendarahan otak.
Kualiti bukti
Keseluruhannya, kualiti bukti bukti adalah sederhana hingga rendah.
Lebih banyak maklumat akan diperolehi dari 10 kajian yang sedang berjalan.
Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my