Rawatan yang berbeza untuk esotropia (mata beralih ke dalam) yang terjadi dalam tempoh enam bulan pertama kehidupan

Apakah tujuan ulasan ini?

Tujuan ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada sebarang rawatan (contohnya pembedahan atau tanpa pembedahan) lebih baik daripada yang lain untuk merawat esotropia (mata beralih ke dalam) yang terjadi terhadap kanak-kanak dalam enam bulan pertama kehidupan. Keadaan ini dipanggil sebagai esotropia infantil. Kami mencari semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini, dan menemui dua.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?
Esotropia infantil boleh mempengaruhi penglihatan mata, keupayaan untuk menggunakan kedua-dua mata serentak (binokulariti), dan juga isu kosmetik terhadap kanak-kanak atau ibu bapa. Rawatan termasuk rawatan pembedahan dan tanpa pembedahan untuk mengurangkan berapa banyak mata beralih ke dalam, dan meningkatkan binokulariti. Binokulariti adalah keupayaan untuk menumpukan pada satu objek dengan kedua-dua mata dan hanya melihat satu imej. Ulasan ini melihat pada perbezaan rawatan, dan tempoh bagi setiap rawatan.

Apakah keputusan utama ulasan ini?
Kami mendapati dua kajian relevan yang mendaftarkan sejumlah 234 kanak-kanak. Satu kajian daripada Afrika Selatan (110 kanak-kanak). Kanak-kanak menerima sama ada rawatan atau suntikan toksin botulinum, dan disusuli selama enam bulan. Toksin botulinum ialah toksin yang digunakan dalam jumlah yang kecil untuk merehatkan otot, termasuk di mata. Kajian ini mendapati bahawa pembedahan mungkin mencapai penjajaran mata yang lebih baik, dengan risiko yang minimum, berbanding dengan suntikan toksin botulinum. Namun, kami mempunyai keyakinan yang sangat rendah, kerana kami hanya mempunyai satu kajian, dengan bilangan kanak-kanak yang sedikit, dan kajian tidak direka bentuk atau dijalankan dengan baik.

Kajian yang lain mendaftarkan 124 kanak-kanak di Jerman dan Belanda. Ia membandingkan pembedahan unilateral (iaitu satu mata sahaja) dan bilateral (iaitu kedua-dua mata). Mereka mendapati bahawa tidak ada bukti perbezaan penting dalam berapa banyak mata beralih atau berapa ramai kanak-kanak dapat menggunakan kedua-dua mata untuk menumpukan pada objek di antara pembedahan ini. Namun, kami mempunyai keyakinan yang sangat rendah, kerana kami hanya mempunyai satu kajian, dengan bilangan kanak-kanak yang sedikit, dan kajian tidak direka bentuk atau dijalankan dengan baik.

Mesej utama
Ulasan ini tidak menyelesaikan kontroversi mengenai jenis pembedahan yang terbaik, nilai intervensi tanpa pembedahan, atau umur rawatan terbaik. Ia menyerlahkan keperluan untuk penyelidikan lanjutan dalam bidang ini.

Adakah ulasan ini terkini?
Pakar maklumat telah mencari kajian yang diterbitkan sehingga 30 November 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information