Impak kumulatif ubat-ubatan dengan kesan antikolinergik terhadap hasil klinikal buruk masa depan dalam kalangan orang dengan demensia

Mesej utama

Ubat antikolinergik boleh meningkatkan risiko kematian dalam kalangan dewasa yang lebih tua yang ada demensia. Walau bagaimanapun, bukti adalah berkepastian rendah, dan kami tidak boleh nyatakan dengan pasti jika ubat antikolinergik menyebabkan kematian, atau jika ianya lebih cenderung diguna oleh orang yang berisiko tinggi untuk mati akibat masalah kesihatan yang berterusan.

Kami tidak dapat membuat kesimpulan kukuh untuk risiko akibat ubat antikolinergik kepada perkembangan hasil klinikal lain yang tidak diingini, seperti kemerosotan memori dan pemikiran, atau isu tingkah laku dan psikologi. Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk menentukan sama ada ubat antikolinergik menyebabkan masalah yang tidak diingini pada orang dewasa yang lebih tua yang mengalami demensia.

Apakah ubat antikolinergik?

Ubat-ubatan boleh diklasifikasikan mengikut kemampuan untuk menyekat tindakan sistem isyarat kimia dalam badan yang dikenali sebagai sistem kolinergik. Ubat-ubatan ini mempunyai kesan antikolinergik, oleh itu, dirujuk sebagai ubat antikolinergik.

Apakah yang kami ingin tahu?

Ubat antikolinergik lazim diguna untuk merawat beberapa keadaan perubatan yang sering dialami oleh orang dengan demensia. Contoh biasa ialah ubat yang diguna untuk merawat jangkitan saluran urinari atau episod agitasi. Walau bagaimanapun, oleh kerana sistem kolinergik dalam otak memain peranan penting dalam pembelajaran, ingatan, dan regulasi emosi, terdapat alasan-alasan teori untuk meyakini penggunaan ubat-ubatan antikolinergik secara tidak sedar boleh menyebabkan eksaserbasi masalah psikologi dalam populasi ini. Dalam ulasan ini, kami menyiasat kaitan antara ubat antikolinergik dan kejadian hasil klinikal yang tidak diingini pada masa depan dalam kalangan orang dengan demensia.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang melihat kaitan antara ubat antikolinergik dan pelbagai hasil klinikal dalam kalangan orang dengan demensia. Kami bandingkan dan rumuskan keputuusan-keputuusan kajian yang dikenalpasti dan menilai keyakinan kami terhadap bukt berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami mendapati sejumlah 18 kajian yang melibatkan 102,684 orang dewasa berumur 50 tahun atau lebih yang bermasalah dengan ingatan dan pemikiran. Kami dapati bukti yang sangat tidak konsisten tentang hubungan antara ubat antikolinergik dan peningkatan masalah ingatan dan pemikiran dalam kalangan orang dengan demensia. Tiada kajian yang menyiasat kaitan antara ubat antikolinergik dan kekerapan gangguan tingkah laku. Oleh itu, kami tidak dapat membuat sebarang kesimpulan sama ada ubat antikolinergik menyebabkan masalah ingatan dan pemikiran, atau gangguan tingkah laku dalam populasi ini. Walau bagaimanapun, kami mendapati hubungan yang lebih konsisten antara ubat antikolinergik dan risiko kematian. Mereka yang mengambil ubat antikolinergik mempunyai risiko 15% lebih tinggi untuk mati berbanding mereka yang tidak mengambil ubat antikolinergik.

Apakah batasan bukti?

Bukti sedia ada adalah berkepastian sangat rendah kerana keputusan kajian yang tidak konsisten, dan kekurangan kawalan untuk keadaan kesihatan yang boleh dikaitkan dengan kedua-dua hasil klinikal dan preskripsi ubat antikolinergik itu sendiri. Ada kemungkinan ubat antikolinergik sebenarnya tidak menyebabkan kematian, tetapi lebih cenderung diberi kepada orang yang berisiko tinggi untuk mati akibat masalah kesihatan yang berterusan.

Adakah bukti ini mutakhir?

Kami mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga 29 November 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information