Langkah-langkah yang dilaksanakan dalam persekitaran sekolah untuk membendung wabak COVID-19

Terjemahan ini tidak dikemas kini. Sila klik di sini untuk melihat versi Bahasa Inggeris terbaru Ulasan.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Untuk mengurangkan penularan virus yang menyebabkan COVID-19, banyak kerajaan dan masyarakat melaksanakan langkah mitigasi di sekolah. Walau bagaimanapun, kami tidak tahu sama ada langkah ini berkesan untuk mengurangkan penyebaran virus, atau bagaimana langkah ini mempengaruhi aspek kehidupan lain, seperti pendidikan, ekonomi atau masyarakat secara keseluruhan.

Apakah langkah-langkah yang dilaksanakan dalam persekitaran sekolah?

Langkah-langkah dalam persekitaran sekolah boleh dikumpulkan kepada empat kategori umum seperti berikut.

1. Langkah mengurangkan peluang untuk kontak s: dengan mengurangkan bilangan pelajar dalam kelas atau sekolah, membuka jenis sekolah tertentu sahaja (contohnya sekolah rendah) atau dengan mencipta jadual di mana pelajar menghadiri sekolah pada hari yang berbeza atau pada minggu yang berbeza, kontak bersemuka antara pelajar dapat dikurangkan.

2. Langkah membuat kontak lebih selamat : dengan meletakkan langkah-langkah seperti topeng muka, meningkatkan pengudaraan dengan membuka tingkap atau menggunakan pembersih udara, membersihkan, mencuci tangan, atau mengubah suai aktiviti seperti sukan atau muzik, kontak boleh dibuat lebih selamat.

3. Langkah-langkah pengawasan dan tindak balas : saringan untuk gejala atau menguji pelajar yang sakit atau berpotensi sakit, atau guru, atau kedua-duanya, dan mengasingkan mereka (untuk orang sakit) atau kuarantin (untuk orang yang berpotensi sakit).

4. Langkah berbilang komponen : langkah-langkah dari kategori 1, 2 dan 3 digabungkan.

Apakah tujuan ulasan ini?

Kami berhasrat untuk mengetahui langkah yang dilaksanakan dalam persekitaran sekolah yang membolehkan sekolah dibuka semula dengan selamat, kekal terbuka, atau kedua-duanya, semasa pandemik COVID-19.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang melihat kesan jenis langkah ini dalam persekitaran sekolah terhadap penyebaran virus yang menyebabkan COVID-19, kesan ke atas sistem penjagaan kesihatan (iaitu bilangan katil hospital yang diperlukan), serta betapa penting aspek sosial (iaitu kekerapan pelajar hadir sekolah). Kajian boleh memberi tumpuan terhadap pelajar, guru dan kakitangan sekolah yang lain, serta keluarga dan masyarakat secara keseluruhan. Mereka boleh menggunakan data kehidupan sebenar (kajian pemerhatian) atau data daripada simulasi yang dijana komputer (kajian pemodelan).

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami menemui 38 kajian yang berkaitan. Kebanyakannya adalah kajian pemodelan (33 kajian). Lima kajian menggunakan data dunia sebenar. Dua puluh kajian telah dijalankan di Amerika Utara atau Selatan, 16 di Eropah dan dua di China.

Di bawah ini kami meringkaskan penemuan utama mengikut kategori.

1. Langkah mengurangkan peluang untuk kontak

Kami mendapati 23 kajian pemodelan menilai langkah untuk mengurangkan peluang untuk kontak. Semua kajian menunjukkan pengurangan dalam penyebaran virus yang menyebabkan COVID-19 dan penggunaan sistem penjagaan kesihatan. Beberapa kajian juga menunjukkan pengurangan bilangan hari di sekolah kerana intervensi sedemikian.

2. Langkah membuat kontak lebih selamat

Kami menemui 11 kajian pemodelan dan dua kajian dunia sebenar yang melihat langkah-langkah, seperti pemakaian topeng di sekolah, pembersihan, cuci tangan, dan pengudaraan. Lima daripada kajian ini menggabungkan berbilang ukuran, yang bermaksud kami tidak dapat melihat langkah khusus yang berkesan dan yang tidak berkesan. Kebanyakan kajian menunjukkan pengurangan dalam penyebaran virus yang menyebabkan COVID-19; beberapa kajian, bagaimanapun, menunjukkan keputusan bercampur atau tiada kesan.

3. Langkah-langkah pengawasan dan tindak balas

Kami menemui 13 kajian pemodelan dan satu kajian dunia sebenar yang menilai pengawasan dan langkah tindak balas. Dua belas kajian menumpukan pada ujian besar-besaran dan langkah-langkah pengasingan, manakala dua melihat secara khusus pada pemeriksaan dan pengasingan berasaskan gejala. Kebanyakan kajian menunjukkan keputusan memihak kepada intervensi, namun ada yang menunjukkan keputusan bercampur atau tiada kesan.

4. Langkah berbilang komponen

Kami mendapati tiga kajian yang melihat kepada intervensi berbilang komponen, yang mana adalah tidak mungkin untuk menentukan kesan setiap intervensi secara individu. Ini termasuk satu kajian pemodelan dan dua kajian dunia sebenar. Kajian-kajian ini menilaikan penjarakkan fizikal, pengubahsuaian aktiviti, pembatalan kelas sukan atau muzik, ujian, pengecualian pelajar berisiko tinggi, cuci tangan dan topeng muka. Kebanyakan kajian menunjukkan pengurangan dalam penyebaran virus yang menyebabkan COVID-19, bagaimanapun beberapa kajian menunjukkan keputusan bercampur atau tiada kesan.

Sejauh manakah kami yakin dengan dapatan ulasan ini?

Keyakinan kami dalam keputusan-keputusan ini adalah terhad. Kebanyakan kajian menggunakan model, iaitu, mereka menganggarkan kesan intervensi daripada memerhati hasil. Memandangkan model dibina berdasarkan andaian tentang cara virus merebak dan cara orang bertindak, kami kekurangan bukti dunia sebenar. Banyak kajian diterbitkan sebagai 'pracetak' tanpa menjalani pemeriksaan ketat terhadap kajian yang diterbitkan, yang seterusnya mengehadkan keyakinan kami. Selain itu, kajian adalah sangat berbeza antara satu sama lain (contohnya, berkenaan dengan tahap penularan dalam komuniti).

Apakah mesej utama?

Membuka semula sekolah atau memastikan sekolah dibuka sambil melaksanakan pelbagai langkah boleh mengurangkan penularan virus yang menyebabkan COVID-19. Langkah sedemikian juga boleh mengurangkan bilangan orang yang perlu pergi ke hospital kerana mengalami COVID-19. Kami masih kurang mengetahui tentang akibat lain daripada langkah ini, seperti yang dikaitkan dengan pendidikan, sumber, dan kesihatan fizikal atau mental, kerana pengetahuan ini kebanyakannya berdasarkan kajian yang memodelkan dunia sebenar. Lebih banyak kajian yang ditetapkan dalam dunia nyata yang menggunakan data dunia sebenar adalah diperlukan.

Sejauh mana bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Disember 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my