Certolizumab pegol untuk rawatan mengekalkan penyakit Crohn yang tidak aktif

Apakah matlamat ulasan ini?

Ulasan Cochrane ini bertujuan untuk mengetahui sama ada penggunaan jangka panjang certolizumab pegol (CZP) adalah rawatan yang berkesan dan selamat untuk penghidap penyakit Crohn (CD) berbanding dengan plasebo. Kami mengumpul dan menganalisis semua kajian yang berkaitan untuk menjawab soalan ini.

Apakah penyakit Crohn?

CD adalah penyakit kronik yang menyebabkan keradangan pada saluran gastrousus seperti usus kecil dan besar. Gejala biasa CD adalah cirit-birit kronik, sakit perut, demam, dan penurunan berat badan. Penyebab sebenar dan mekanisma CD tidak jelas, tetapi diketahui bahawa utusan kimia yang dipanggil tumor necrosis factor-alpha (TNFα) terlibat dalam keradangan usus.

Apakah certolizumab pegol?

CZP ialah ubat yang disuntik di bawah kulit dan menyekat aktiviti TNFα. CZP boleh menyekat keradangan yang berterusan pada pesakit CD. Walau bagaimanapun, keberkesanan dan keselamatan penggunaan jangka panjang CZP pada orang dengan CD yang tidak mengalami keradangan berterusan tidak difahami dengan baik, dan adalah penting untuk menjelaskan perkara ini.

Apa yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang menyiasat CZP berbanding dengan plasebo (rawatan tiruan) pada orang yang mempunyai CD. Kami mencari penulisan perubatan sehingga 23 Mac 2022.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui satu kajian yang relevan melibatkan 428 orang dengan CD. Kajian ini memberi tumpuan kepada orang yang mempunyai CD berumur 18 tahun ke atas yang menunjukkan tindak balas positif terhadap tiga dos CZP. Ia membandingkan keberkesanan dan kesan sampingan penggunaan CZP jangka panjang berbanding plasebo.

Keputusan utama

Kami mendapati bahawa penggunaan CZP berkemungkinan menyumbang kepada kawalan CD yang lebih baik. Daripada 216 orang dengan CD yang diberi CZP, 103 telah mengawal penyakit ini selama 26 minggu. Sebaliknya, daripada 212 orang dengan CD yang diberi plasebo, 60 telah mengawal penyakit mereka. Di samping itu, tiada kesan sampingan yang ketara sama ada daripada CZP atau plasebo sepanjang 26 minggu.

Kepastian tentang bukti

Kami menggunakan kaedah skala penilaian umum yang mempunyai empat peringkat (iaitu tinggi, sederhana, rendah, atau sangat rendah) untuk menilai kepastian kami dalam bukti (GRADE). Kami mendapati bahawa kepastian bukti untuk keberkesanan CZP adalah sederhana kerana bilangan peserta tidak mencukupi dalam kajian yang dimasukkan. Untuk bukti keselamatan CZP, kepastian bukti adalah rendah kerana sebilangan kecil peserta yang mengalami kesan sampingan.

Kesimpulan

CZP adalah berkemungkinan rawatan yang berkesan dan selamat untuk menyekat keradangan pada pesakit CD; namun, kajian semasa adalah terhad kepada 26 minggu susulan (pemantauan) dan hanya dalam kalangan orang dewasa. Oleh itu, kesimpulan ini tidak boleh digunakan sebagai panduan rawatan jangka panjang atau untuk kanak-kanak pada masa ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Hui Jen Chua (Taylor’s University). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information